Datuk Seri Ahmad Said menyifatkan khabar angin mengenai kedudukannya sebagai Menteri Besar Terengganu sengaja dihebohkan oleh pihak tidak bertanggungjawab yang mahu memecahbelahkan perpaduan UMNO di negeri itu.

Katanya, desas-desus itu bukan satu perkara baru sebaliknya tidak pernah berhenti sejak beliau menerajui negeri itu selepas pilihan raya umum 2008.

Ahmad sebaliknya menyerahkan kedudukannya serta masa depan politiknya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Biarlah dia buat keputusan. Saya sudah katakan bahawa kita Terengganu 17-15 (kedudukan kerusi BN dan Pakatan Rakyat di Dewan Undangan Negeri).

"Keadaan dah macam itu, kenapa kita wujudkan tidak stabil dan sebagainya," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman antara syarikat milik kerajaan negeri, Epic Berhad dengan Felcra Berhad pada Rabu.

Kedudukan Ahmad Said jadi perhatian selepas kolumnis Mingguan Malaysia, Awang Selamat dalam ruangan pojoknya, Bisik-Bisik Awang Selamat mendakwa pentadbiran Najib bakal membuat pertukaran dua menteri besar tidak lama lagi.

Bagaimanapun Awang Selamat tidak menamakan menteri besar mana dan dari negeri mana yang beliau maksudkan.

"Khabarnya dua menteri besar bakal digantikan tidak lama lagi. Spekulasi mengenainya mulai bertiup bagai sepoi angin petang di pesisiran pantai.

"Tidak perlulah Awang sebut siapa menteri besar berkenaan pada peringkat ini, biarlah ia terus menjadi desas-desus," tulis Awang Selamat.

Dalam pada itu, Awang Selamat turut menyatakan sokongan terhadap usaha berkenaan kerana baginya, perubahan tersebut mampu menyuntik kesegaran dalam pentadbiran negeri.

"Awang berpendapat memang perlu ada peralihan bagi menyuntik kesegaran dalam tampuk pentadbiran negeri tertentu.

"Tentu terdapat tokoh yang boleh dijadikan sandaran, yang Awang percaya Najib sudah ada bayangan calon-calonnya. Kita tunggu," tulisnya lagi.

Dalam pada itu, ADUN Telong, Rozi Mamat yang dihebohkan sebagai pengganti Ahmad Said meminta spekulasi itu dihentikan kerana ia akan lebih mengeruhkan keadaan.

"Spekulasi di Terengganu ini tak pernah berhenti, dari dulu sampai sekarang. Saya harap mereka yang menyebarkan cerita palsu ini tak payahlah (teruskan) sebab perkara seperti ini tak sepatutnya berlaku untuk mengeruhkan keadaan.

"Kita orang Islam. Kalau kita tak mampu jadi garam di lautan, jangan kita jadi langau yang memburukkan keadaan," katanya.

BN menguasai pentadbiran di tujuh buah negeri iaitu Perlis, Kedah, Perak, Terengganu, Pahang, Negeri Sembilan dan Johor dengan menteri besarnya dilantik daripada UMNO.