MBPG, Duopharma terima Anugerah Perdana Menteri di AIGA 2025

Majlis Bandaraya Pasir Gudang menyifatkan, pengiktirafan itu sebagai tanda aras baharu dalam usaha memperkukuh pentadbiran berintegriti. - Gambar IIM
PUTRAJAYA: Anugerah Integriti, Governans dan Antirasuah 2025 (AIGA 2025) sekali lagi menjadi pentas pengiktirafan tertinggi kepada organisasi yang menegakkan nilai ketelusan serta amalan tadbir urus terbaik di negara ini.
Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) dan Duopharma Biotech Berhad diumumkan sebagai penerima Anugerah Perdana Menteri masing-masing bagi kategori sektor awam dan sektor swasta.
Kedua-dua penerima menerima Piala Pusingan Anugerah Perdana Menteri, Pakej Produk dan Perkhidmatan Institut Integriti Malaysia bernilai RM50,000, serta sijil penghargaan.
Majlis disampaikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas beliau menyampaikan Amanat Perdana Integriti Nasional (MAPIN) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Rabu.Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Integriti Malaysia (IIM), Datuk Ahmad Ramdzan Daud, menjelaskan bahawa anugerah ini bukan semata-mata pertandingan, tetapi wadah memperkukuh budaya integriti di semua peringkat.
“Majlis ini bukanlah untuk menentukan siapa menang, siapa kalah, tetapi membolehkan penyertaan daripada semua sektor awam dan swasta berhubung sebagai satu platform di bawah anugerah integriti, governans dan antirasuah,” katanya.
Beliau turut memaklumkan, format penilaian tahun ini diperbaharui apabila kategori sektor awam dan swasta dinilai secara berasingan bagi memastikan proses lebih adil dan menyeluruh.
“Kali ini kami pisahkan antara awam dengan swasta. Awam kami nilai dari segi penyampaian khidmat kepada masyarakat, manakala swasta lebih kepada tatakelola dan kelestarian alam sekitar,” ujarnya.
IIM juga merancang memperkenalkan modul integriti kanak-kanak di tadika dan prasekolah seluruh negara menjelang 2026, bagi memupuk nilai murni sejak usia awal.
Bagi MBPG, pengiktirafan itu dilihat sebagai tanda aras baharu dalam usaha memperkukuh pentadbiran berintegriti.
Mantan Datuk Bandar MBPG, Datuk Mustaffa Kamal Shamsudin, berkata pengiktirafan itu menyuntik semangat warga majlis untuk terus menambah baik tadbir urus.
“Anugerah ini menentukan apa yang telah dan akan dilakukan ada standard sendiri, dan paling penting bagaimana merakyatkan anugerah ini dalam masyarakat keseluruhan,” katanya.
Sementara itu, Datuk Bandar MBPG, Datin Paduka Hazlina Jalil, berikrar meneruskan usaha tersebut.
“Tanggungjawab saya ialah memastikan tatakelola ini sentiasa ditambah baik dari semasa ke semasa,” katanya.

Wan Amir-Jeffery (lima, kiri) berkata, pengiktirafan itu menjadi motivasi kepada syarikat tersenarai untuk terus menegakkan nilai integriti
Bagi sektor korporat, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Duopharma, Wan Amir-Jeffery Wan Abdul Majid berkata, pengiktirafan itu menjadi motivasi kepada syarikat tersenarai untuk terus menegakkan nilai integriti di semua lapisan organisasi.
“Bila kita bincang tentang integriti, ia berlaku dari atas hingga ke bawah dalam setiap lapisan syarikat,” katanya.
Penilai Khas AIGA 2025, Tan Sri Noorul Ainur Mohd Nur pula berharap lebih banyak organisasi akan menyertai AIGA pada masa hadapan.
“IIM mahu anugerah ini dijulang oleh setiap organisasi, dan kita mahu lebih banyak penyertaan pada masa depan,” katanya.
Sejak diperkenalkan pada 2020, AIGA menjadi simbol komitmen berterusan sektor awam dan swasta terhadap agenda integriti, governans dan antirasuah negara.
Edisi 2025 mencatat 202 penyertaan sebanyak 131 agensi sektor awam dan 71 organisasi sektor swasta.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami