Pemimpin MCA digesa untuk merapatkan barisan dan menghentikan sebarang pertelingkahan sesama sendiri.

Ini kerana tindakan negatif itu sehingga kini nyata menjejaskan sokongan masyarakat Cina terhadap parti itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) menegaskan sebagai parti komponen, beliau memerlukan MCA menjadi parti yang kuat dan bersatu supaya boleh membantu mengembalikan semula sokongan masyarakat Cina kepada BN pada pilihan raya akan datang.

“MCA jangan lah bergaduh sesama sendiri...saya pun susah, nak dengar orang ini cakap macam tu, orang ini cakap macam tu. Nak pilih calon pun susah.

“Macam Pakatan Rakyat (PR) bergaduh di Selangor, orang pun dah bosan dengar, macam tu lah kalau MCA bergaduh.

“Jadi rapatkan barisan, bersatu dan terus utuh,” kata Najib.

Beliau berucap semasa merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan Ke-61 MCA di Wisma MCA, pada Ahad.

Katanya lagi, sekiranya pemimpin terus bertelingkah, bukan sahaja tiada apa yang akan dapat dilaksanakan, malah rakyat khususnya masyarakat Cina akan bosan dengan mereka.

Najib turut menyifatkan percakaran sesama sendiri juga menyebabkan parti itu hilang hala tuju, sebelum ini.

Pada masa sama, Najib turut mengingatkan masyarakat Tiong Hua tidak perlu risau mengenai status Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) kerana hak belajar bahasa ibunda sudah termaktub dalam perlembagaan negara.

Najib turut menekankan perkara itu juga termaktub dalam Dasar Pendidikan Negara.

Bagaimanapun, Najib meminta kaum itu agar sentiasa mempertingkatkan penguasaan Bahasa Kebangsaan mereka.

“Cuma kita harap pada SJKC belajar Bahasa Kebangsaan dengan baik.

“Jangan kata ‘gua’ ‘lu’ lagi, cakap bahasa macam Presiden MCA cakap tadi. Keseluruhan ucapannya dalam Bahasa (Malaysia) tadi,” ulas Najib.

Dalam pembentangan Bajet 2015 yang diumumkan Perdana Menteri Jumaat lalu, beliau mengumumkan RM450 juta diperuntuk untuk sekolah kebangsaan bagi membangun dan menyelenggarakan fasiliti pendidikan dalam aspek keselamatan dan persekitaran.

Manakala SJK Cina, SJK Tamil, sekolah mubaligh, sekolah berasrama penuh, sekolah agama bantuan kerajaan dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) masing-masing menerima RM50 juta bagi tujuan sama.

Sebelum ini, wujud desas desus kononnya kerajaan akan menghapuskan sekolah jenis vernakular kerana ia dilihat melebarkan jurang perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia.

Malah, ada juga yang melihat pelajar di sekolah vernakular gagal menguasai Bahasa Kebangsaan.

Dalam ucapan perasmian itu juga, Najib turut mengumumkan peruntukan RM50 juta untuk Koperasi Jayadiri MCA (KOJADI).

Peruntukan itu akan digunakan bagi membantu usahawan industri kecil dan sederhana (PKS).

“Saya nak minta KOJADI salurkan RM50 juta untuk PKS sebab dalam beberapa kes, kalau kita lulus peruntukan, implimentasi dan pemantauan sering jadi masalah.

“Jadi kalau KOJADI boleh memantau, KOJADI tahu siapa patut bagi, dan KOJADI boleh kutip hutang balik.

“Maka, KOJADI akan menjadi agen bagi pihak kerajaan untuk membantu PKS,” ujar Najib.

Sebelum itu, dalam ucapan beliau, Najib turut mengakui usahawan dalam kalangan masyarakat Cina turut membantu meningkatkan hasil Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

KOJADI adalah koperasi Cina yang pertama dipilih kerajaan untuk melaksanakan program transformasi termasuk Program Transformasi Kedai Runcit (TUKAR) dan Projek Pemodenan Bengkel Automotif (ATOM).

KOJADI mempunyai trek pencapaian cemerlang selain tersenarai dalam 100 koperasi terbaik antara 11,000 koperasi seluruh negara.