KUALA LUMPUR: Sekolah berprestij dan bersejarah seperti Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) berpotensi kembali menyerlah serta memainkan peranan lebih relevan dalam era moden dengan menyesuaikan pendekatan pendidikan selaras dengan perubahan semasa.
Sultan Perak Sultan Nazrin Shah bertitah pendekatan baharu diperlukan bagi memenuhi tuntutan zaman, namun pada masa sama perlu berteraskan asas etika dan pendidikan kukuh yang sekian lama menjadi identiti institusi berkenaan.
Baginda yang juga Penaung Diraja Lembaga Pengelola MCKK bertitah MCKK dan sekolah seumpamanya perlu menyesuaikan diri serta melakukan transformasi bagi menghadapi realiti baharu, khususnya masa depan yang semakin dipengaruhi kecerdasan buatan (AI) dan perkembangan pesat teknologi.
“Ini tugas mendesak kita, iaitu melakukan persediaan, menyesuaikan sistem pendidikan serta membayangkan semula dan memperlengkapkannya agar dapat memenuhi keperluan dengan lebih berkesan.
“Dengan itu, generasi akan datang akan lebih bersedia memanfaatkan peluang dalam era AI yang sedang kita tempuhi,” titah baginda ketika melancarkan buku Breaking, But Not Broken yang mengupas secara terbuka cabaran semasa dihadapi sekolah berasrama penuh berprestij itu di sini pada Sabtu.
Sultan Nazrin bertitah matlamat pendidikan bukan sekadar melahirkan modal insan yang mampu menyesuaikan diri dengan perubahan ekonomi akibat kemajuan teknologi, malah membentuk generasi muda yang seimbang dari segi kemahiran, kepekaan dan nilai bagi membolehkan mereka memainkan peranan bermakna dalam masyarakat.
“Kedua-dua elemen, sama ada bersifat praktikal mahupun tidak ketara, sentiasa penting. Namun dalam tempoh perubahan yang begitu drastik dan sukar dijangka ketika ini, sistem pendidikan perlu lebih berupaya membentuk kedua-dua aspek berkenaan,” titah baginda.
Mengenai Breaking, But Not Broken, Sultan Nazrin memuji keberanian penulisnya Ghazally Ismail, Ahmad Ibrahim dan Hisham Badrul Hashim mengetengahkan perkara sensitif berkaitan cabaran yang dihadapi MCKK.
Baginda bertitah analisis yang dikemukakan penulis mengenai cabaran itu dibuat secara terus terang dan ada kalanya agak keras.
Menurut Sultan Nazrin, penilaian berkenaan turut merangkumi beberapa sekolah berasrama penuh lama dan tersohor lain yang dilihat berdepan kemerosotan serupa.
“Institusi yang pernah dianggap sebagai sekolah ‘berpengaruh’ ini kini menyaksikan pengaruhnya semakin pudar, manakala keupayaan yang sekian lama terbukti dalam melahirkan graduan berkaliber tinggi tidak lagi dapat diyakini seperti dahulu.
“Penguasaan bahasa, pemikiran kritis, malah komitmen untuk berkhidmat, semuanya dilihat semakin berkurangan dalam kalangan graduan hari ini dan keadaan ini sudah tentu amat berbeza berbanding dahulu,” titah baginda.
Sementara itu, Pengerusi Lembaga Pengelola MCKK Tan Sri Dr Ahmad Tajuddin Ali berkata Yayasan MCKK menerima sumbangan lebih RM36 juta sejak ditubuhkan pada 2008.
Beliau berkata lebih RM19 juta daripada jumlah itu dilaburkan dalam pembangunan infrastruktur baharu termasuk Kompleks IB dan Auditorium Tun Abdul Razak, manakala RM3.5 juta dibelanjakan untuk kerja baik pulih serta pemulihan kemudahan.
“Selain pembangunan fizikal, Yayasan turut membina dana endowmen yang kukuh dan mampan. Kini, Yayasan menguruskan dana endowmen melebihi RM16 juta hasil sumbangan dermawan termasuk PETRONAS dan Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah.
“Sehingga kini, lebih RM7 juta hasil pelaburan telah disalurkan semula kepada MCKK,” katanya ketika berucap pada majlis itu.
Ahmad Tajuddin berkata hasil pelaburan berkenaan digunakan antaranya untuk membiayai biasiswa dan bantuan kewangan kepada pelajar yang layak, program pembangunan kepimpinan, penyertaan dalam persidangan dan pertandingan antarabangsa serta pembangunan profesional guru.
Dana itu turut dimanfaatkan untuk penyelenggaraan kampus serta usaha memelihara bangunan dan kawasan warisan MCKK.
-- BERNAMA