MCMC lawat 359 premis peranti komunikasi, beri penerangan tentang keperluan label

Maklum balas yang diterima daripada peniaga sepanjang program 'Direct Engagement' adalah sangat positif di mana mereka telah menyatakan komitmen dan menyambut baik pendekatan turun padang MCMC. - Foto MCMC
PUTRAJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah melawat 359 premis peranti komunikasi di seluruh negara bagi memberikan penerangan kepada pemilik serta petugas kedai tentang keperluan pemerakuan dan label MCMC pada peranti komunikasi.
Ringkasan AI
- MCMC melawat 359 premis peranti komunikasi di seluruh negara bagi memberikan penerangan tentang keperluan pemerakuan dan label MCMC pada peranti komunikasi.
- Program "Direct Engagement" MCMC dari Jun 2024 hingga November 2025 bertujuan memastikan peranti komunikasi selamat, asli, mematuhi standard, dan serasi dengan rangkaian serta tidak mengganggu frekuensi.
- Peniaga memberikan maklum balas positif terhadap langkah MCMC, menyatakan komitmen untuk mematuhi keperluan pemerakuan dan pelabelan peranti komunikasi yang ditetapkan.
Maklum balas yang diterima daripada peniaga sepanjang pelaksanaan aktiviti itu adalah sangat positif dan mereka telah menyatakan komitmen, menyambut baik pendekatan turun padang MCMC dan akan mematuhi keperluan pemerakuan serta pelabelan peranti komunikasi seperti yang telah ditetapkan.
Usaha berkenaan mencerminkan komitmen berterusan MCMC untuk memastikan keselamatan pengguna terjamin serta memelihara integriti rangkaian komunikasi negara dengan memastikan hanya kelengkapan komunikasi yang mematuhi standard dijual di pasaran.
MCMC turut mengingatkan pengguna agar hanya membeli peranti yang diperakui dan mempunyai label MCMC.
Untuk memudahkan semakan status pemerakuan, pengguna digalakkan menggunakan aplikasi Check Your Label (CYL) yang boleh dimuat turun melalui Apple App Store atau Google Play Store.
Pengguna hanya perlu memasukkan nombor Label ID MCMC, nombor IMEI atau nombor siri bagi mendapatkan status pemerakuan dan maklumat peranti untuk memastikan produk berkenaan sah serta mematuhi standard yang ditetapkan.
"Untuk maklumat lanjut, sila layari www.cyl.gov.my," menurut MCMC.
Perbuatan menjual atau menggunakan peranti tanpa kelulusan atau label MCMC ialah satu kesalahan dan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM300,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


