MELAKA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bekerjasama dengan kerajaan negeri Melaka dalam memperluas kesedaran dan meningkatkan penggunaan e-tunai di negeri itu menerusi inisiatif 'Melaka e-Tunai' di Bazar Ramadan dan Bazar Aidilfitri.

Jabatan Komunikasi Korporat MCMC dalam kenyataan memaklumkan inisiatif itu merupakan antara kempen promosi dan kesedaran dibangunkan dengan kerjasama Unit Kerajaan Tempatan (UKT) Jabatan Ketua Menteri Melaka, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka dan penyedia perkhidmatan kewangan (FSPs) serta platform digital, bagi memacu peralihan kepada pembayaran tanpa tunai dalam kalangan masyarakat.

"Pada masa yang sama, MCMC kini sedang bekerjasama dengan rakan strategik seperti Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) dan FSPs termasuk TNG Digital Sdn Bhd, Axiata Digital Ecode Sdn Bhd (Boost), Maybank dan Delivery Hero Malaysia Sdn Bhd (Foodpanda), bagi menawarkan produk-produk dan perkhidmatan-perkhidmatan digital mereka di Melaka.

"Menerusi kempen ini, peniaga tempatan digalak untuk mendaftarkan perniagaan mereka dengan FSPs atau penyedia platform digital bagi memudahkan proses pembayaran secara tanpa tunai ataupun 'cashless'," menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu memaklumkan peniaga dan pengunjung bazar dapat menikmati insentif serta pelbagai tawaran istimewa menerusi inisiatif Melaka e-Tunai tersebut, termasuk pulangan wang tunai melalui aplikasi e-dompet TnG, Boost, Maybank dan penghantaran makanan Foodpanda, sepanjang kempen berkenaan.

"Penggunaan perkhidmatan FSPs atau penyedia platform digital ini adalah antara pemangkin utama dalam memupuk budaya pembayaran tanpa tunai dalam kalangan masyarakat, yang akan memacu transformasi digital.. serta membolehkan Malaysia mencapai pembangunan ekonomi digital yang mampan.

"Segala usaha dan inisiatif ini dilaksanakan demi memastikan kesejahteraan rakyat terjamin, sekali gus merealisasikan Dekad Keemasan Ekonomi Digital," menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA