MCMC siasat individu muat naik imej ‘Utusan’ palsu di Facebook

MCMC sedang menjalankan siasatan berhubung satu hantaran di Facebook yang memaparkan imej disunting menyerupai laporan portal berita bertajuk “Anwar akui banyak kesilapan perjanjian dengan AS.”
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang menjalankan siasatan berhubung satu hantaran di Facebook yang memaparkan imej disunting menyerupai laporan portal berita bertajuk “Anwar akui banyak kesilapan perjanjian dengan AS.”
Imej tersebut didapati menggunakan logo rasmi Utusan Malaysia secara palsu dan berpotensi mengelirukan orang ramai.
Siasatan awal turut mengesahkan Utusan Malaysia tidak pernah menerbitkan laporan berkenaan, sekali gus menjelaskan ia adalah penyalahgunaan nama dan logo akhbar.
Individu yang disyaki telah dipanggil untuk membantu siasatan dan keterangan dirakam di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah, Melaka.
Sebuah telefon bimbit turut dirampas bagi tujuan analisis forensik digital.
Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588], yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum dua tahun, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Sehubungan itu, MCMC menasihatkan orang ramai agar sentiasa menyemak kesahihan maklumat sebelum berkongsi di media sosial, terutama kandungan yang menggunakan identiti atau logo organisasi media tanpa kebenaran.
Tindakan ini, tegas MCMC penting bagi mengelakkan penyebaran berita palsu yang boleh menjejaskan kredibiliti sumber berita.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


