KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang meneliti lebih banyak bidang untuk dimasukkan dalam modul pendidikan dan kesedaran Perlindungan Dalam Talian Kanak-Kanak (COP) memandangkan semakin awal kanak-kanak didedahkan kepada internet.

Ketua Pegawai Kawal Selia MCMC Zulkarnain Mohd Yasin berkata keadaan itu menuntut pelaksanaan usaha bersepadu dalam mendidik masyarakat umum tentang penggunaan internet secara positif dan beretika.

"Ini penting jika kita benar-benar serius dalam melindungi anak-anak kita daripada keganasan, eksploitasi dan penderaan yang dikaitkan dengan teknologi digital.

"Teknologi komunikasi akan terus berkembang pesat, begitu juga ancaman yang datang bersamanya, baik ancaman baharu mahupun yang sedia ada, satu-satunya cara yang berkesan untuk menangani ancaman tersebut ialah kesungguhan kita," katanya dalam ucapan pembukaan pada Seminar MCMC-UNICEF mengenai COP 2021 menerusi aplikasi Zoom pada Selasa.

Beliau berkata pada masa sama, MCMC menerusi kemudahan forensik digitalnya yang diiktiraf antarabangsa, sentiasa bersedia menyalurkan bantuan teknikal kepada polis dan lain-lain agensi penguat kuasa dalam siasatan jenayah, seperti yang dilakukan selama ini.

"internet akan kekal bersama kita, begitu juga risikonya. Sekalipun ancaman-ancaman ini terus berubah, teras kewujudannya tetap sama iaitu untuk memudaratkan.

"Namun begitu, sekalipun hasrat kita ialah untuk melindungi, kita harus memastikan langkah-langkah yang diambil tidak mencabul hak kanak-kanak memandangkan teknologi digital menyumbang kepada penganjuran, perlindungan dan penunaian hak kanak-kanak," katanya.

Zulkarnain berkata kerjasama dan perkongsian membabitkan pelbagai pemegang taruh amat penting dalam memastikan keselamatan kanak-kanak semasa mereka dalam talian.

"Ini kerana kita ada pemegang taruh yang mungkin tidak boleh dicapai oleh pihak lain, justeru kerjasama dan perkongsian ini amat penting untuk merapatkan jurang tersebut.

"Pada masa sama, setiap orang harus menyingkirkan salah tanggapan bahawa kerajaan mempunyai kemampuan untuk menyelesaikan semua masalah, kita masing-masing ada peranan untuk dimainkan dalam memastikan keselamatan anak-anak kita, baik agensi kerajaan, pemain industri, ibu bapa dan pendidik, ahli masyarakat, malah kanak-kanak dan golongan muda itu sendiri," katanya.

Sementara itu, seorang daripada penceramah, Pesuruhjaya Kanak-Kanak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia Prof. Datuk Noor Aziah Mohd Awal memuji tindakan pantas kerajaan menghentikan operasi aplikasi janji temu Sugarbook.

Katanya aplikasi sedemikian mungkin menarik kanak-kanak kerana mereka mempunyai peranti untuk mengakses laman web, selain berisiko menjadi mangsa eksploitasi.

"Kumpulan yang mencipta aplikasi dan laman web seperti Sugarbook ini kreatif serta inovatif, mereka boleh mewujudkan laman web baharu untuk meneruskan aktiviti mereka, justeru kerajaan harus mencari jalan untuk menghentikan kegiatan ini daripada terus berkembang," katanya.

Noor Aziah menyarankan kerajaan mewujudkan sistem data kebangsaan mengenai penggunaan internet oleh kanak-kanak bagi memantau kategori serta usia mereka, selain risiko dan bahaya yang dihadapi mereka.

"Wujudkan tindakan kolektif membabitkan kementerian berkaitan untuk mencegah dan menangani segala bentuk keganasan, penderaan dan eksploitasi kanak-kanak menerusi talian," katanya.

-- BERNAMA