MALAYSIA
MCMC turun 49,082 hantaran berkaitan penipuan setakat 1 Ogos

Teo berkata pada tahun lepas, sebanyak 63,652 hantaran diturunkan berbanding 6,297 pada 2023, menunjukkan peningkatan mendadak dalam penyebaran kandungan penipuan secara dalam talian. - Gambar fail
KUCHING: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berjaya menurunkan 49,082 hantaran berkaitan penipuan setakat 1 Ogos ini, kata Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching.
Ringkasan AI
- MCMC berjaya menurunkan 49,082 hantaran penipuan setakat 1 Ogos 2025, menunjukkan peningkatan mendadak berbanding tahun sebelumnya, dengan penularan kandungan palsu seperti akaun penyamaran tokoh awam semakin membimbangkan.
- Kementerian Komunikasi memperkenalkan alat semakan fakta seperti Biar Betul di RTM, chatbot AI AIFA dan portal Sebenarnya.my untuk membantu rakyat mendapatkan maklumat sahih serta meningkatkan kesedaran keselamatan dalam talian.
- Malaysia melonjak ke kedudukan ke-23 dalam Laporan Daya Saing Dunia 2025, hasil reformasi pentadbiran dan pemanfaatan teknologi secara beretika, termasuk AI, yang disarankan digunakan secara bijak dan terkawal dalam perkhidmatan awam.
Teo berkata semua pihak tidak boleh ketinggalan dalam mengikuti arus teknologi yang berkembang pesat, termasuk penggunaan kecerdasan buatan (AI).
Meskipun AI mampu mempermudah pelbagai urusan dan tugasan harian, beliau berkata ia tidak dapat menggantikan nilai penting seperti usaha, dedikasi dan kecemerlangan yang menjadi teras kepada perkhidmatan awam.
"Yang penting, penggunaan teknologi mestilah dilakukan dengan bijak, berhemah dan terkawal supaya benar-benar memberi manfaat tanpa menjejaskan integriti dan tanggungjawab kita sebagai penjawat awam," katanya.
Pendekatan beretika dan seimbang dalam penerapan AI akan memastikan teknologi itu dimanfaatkan secara optimum dalam meningkatkan mutu perkhidmatan kepada rakyat.
Justeru, bagi menangani penipuan atau penyebaran berita palsu, beliau berkata kementerian menyediakan pelbagai alat semakan fakta seperti Biar Betul di RTM, Chatbot kecerdasan buatan (AI) AIFA (Artificial Intelligence Fact-check Assistan) dan portal Sebenarnya.my.
"AIFA menerima sebanyak 142,257 mesej setakat 31 Julai 2025, sejak dilancarkan pada 28 Jan 2025. Ini bersamaan dengan purata hampir 769 mesej sehari.
Inisiatif itu sebahagian daripada usaha kerajaan untuk membantu rakyat mendapatkan maklumat sahih dengan cepat dan mudah, mendidik pengguna dalam mengenal pasti sumber maklumat yang boleh dipercayai, serta meningkatkan kesedaran mengenai keselamatan dalam talian.
Sementara itu, kerajaan terus menunjukkan komitmen tinggi dalam melaksanakan usaha reformasi pentadbiran, khususnya dalam sektor perkhidmatan awam.
"Sebagai contoh, dalam Laporan Daya Saing Dunia (WCR) 2025 yang dikeluarkan oleh Institut Pembangunan Pengurusan (IMD) pada 17 Jun 2025, Malaysia melonjak 11 anak tangga pada kedudukan ke-23 berbanding ke-34 pada 2024," katanya.
Peningkatan ini, manifestasi nyata kepada kesungguhan kerajaan dalam memacu pembaharuan struktur dan penambahbaikan secara menyeluruh di seluruh negara.
Usaha berterusan berkenaan bukan sahaja meningkatkan kecekapan pentadbiran, malah turut memperkukuh kepercayaan masyarakat antarabangsa terhadap keupayaan dan tadbir urus Malaysia.
Terdahulu, Teo menyampaikan anugerah APC kepada 80 penerima daripada pelbagai jabatan dan agensi di bawah Kementerian Komunikasi.
Selain itu, beliau turut menyampaikan sumbangan Tabung Kasih@HAWANA kepada waris petugas Radio Televisyen Malaysia (RTM) di Sarawak yang meninggal dunia baru-baru ini.
Allahyarham Irwan Budi Annuar, 51, yang berkhidmat di RTM sebagai penyampai radio, pemberita dan penerbit rancangan meninggal dunia pada 6 Ogos lepas akibat barah paru-paru dan penyakit buah pinggang, manakala mendiang Geogina Clare, 45, meninggal dunia pada 12 Ogos lepas.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami