Skip to main content

Malaysia

MDV raih dua pengiktirafan bagi sistem pengurusan antirasuah dan pemberi maklumat

TB_Rizal Fauzi MDV_AWANI.jpg
Rizal Fauzi berkata, pendirian toleransi sifar terhadap rasuah serta komitmen terhadap integriti dan ketelusan melangkaui aspek pematuhan semata-mata, dan prinsip-prinsip itu merupakan asas kepada pengoperasian organisasi mereka. - Gambar fail
Advertisement

KUALA LUMPUR: Malaysia Debt Ventures Berhad (MDV) telah menerima dua pengiktirafan daripada ABAC Center of Excellence Sdn Bhd (ABAC), merangkumi pensijilan ISO 37001:2025 bagi Sistem Pengurusan Antirasuah (ABMS) serta Sijil Pematuhan ISO 37002:2021 bagi Sistem Pengurusan Pendedahan Pemberi Maklumat (WBMS), sekali gus menandakan satu lagi pencapaian penting dalam usaha tadbir urus MDV.

MDV menjadi organisasi perniagaan pertama yang menerima kedua-dua pengiktirafan yang dianugerahkan secara serentak, oleh ABAC.

Sebagai anak syarikat Menteri Kewangan (Diperbadankan) [MOF (MKD)] dan sebuah agensi di bawah seliaan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), MDV menyokong pembangunan ekosistem teknologi Malaysia dengan menyediakan penyelesaian pembiayaan khusus kepada syarikat dan projek teknologi dalam sektor-sektor strategik.

Pencapaian ini memperkukuh mekanisme perlindungan institusi yang menjadi asas kepada operasi MDV, merangkumi kawalan antirasuah serta pengurusan pendedahan oleh pemberi maklumat.

Ketua Pegawai Eksekutif MDV, Rizal Fauzi berkata, pendirian toleransi sifar terhadap rasuah serta komitmen terhadap integriti dan ketelusan melangkaui aspek pematuhan semata-mata, dan prinsip-prinsip itu merupakan asas kepada pengoperasian organisasi mereka. 

"Sebagai sebuah organisasi milik kerajaan, kami memandang serius tanggungjawab ini. Kami telah melaksanakan kawalan yang kukuh serta proses yang ketat untuk mencegah, mengesan dan menangani rasuah. Di samping itu, kami juga mewujudkan satu rangka berstruktur berteraskan kepercayaan, kesaksamaan dan perlindungan kepada pemberi maklumat.

“Pensijilan ABMS dan pengiktirafan WBMS yang diterima ini mengesahkan lagi kekuatan sistem berkenaan, sekali gus menegaskan komitmen kami terhadap akauntabiliti dan tadbir urus yang baik di setiap peringkat organisasi,” tambah Rizal.

Kedua-dua pengiktirafan tersebut merupakan hasil usaha bersepadu warga MDV dalam menilai risiko rasuah, memperkukuh dasar, kawalan dan proses berkaitan, serta melaksanakan latihan dan inisiatif kesedaran yang bersasar.

Pada awal tahun ini, MDV mengumumkan 10 inisiatif utama tadbir urus, termasuk penerapan ISO 37001 dan ISO 37002. Barisan kepimpinan tertinggi MDV turut menandatangani plak “Commitment to Better Governance”, yang melambangkan komitmen bersama untuk memperkukuh integriti dan akauntabiliti di seluruh organisasi. 

Pencapaian dua pengiktirafan ini merupakan inisiatif jelas dalam merealisasikan komitmen tersebut dan menjadi sebahagian daripada agenda integriti dan tadbir urus MDV yang lebih menyeluruh, termasuk pelaksanaan Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) 2026–2030 serta model Three Lines of Defence.

MDV akan terus menilai kesesuaian piawaian ISO lain yang berkaitan serta mendapatkan pensijilan tambahan apabila bersesuaian bagi menambah baik proses, memperkukuh keupayaan organisasi dan memacu penambahbaikan berterusan.
 

Must Watch Video

Advertisement