SHAH ALAM: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) melalui Tekun Nasional telah mula mengagihkan geran berjumlah RM50 juta bagi membantu usahawan informal dan mikro yang terjejas akibat banjir pada akhir tahun lepas.

Menterinya Tan Sri Noh Omar berkata sebagai permulaan, pada hari ini seramai 328 usahawan telah menerima sumbangan geran Bantuan Banjir Keluarga Malaysia (BBKM) secara sekali bayar (one-off) sebanyak RM3,000 seorang.

"Bantuan yang tidak mengira kaum ini akan membantu meringankan beban usahawan informal dan mikro ketika ini yang terjejas akibat bencana banjir," katanya ketika ditemui media selepas Majlis Penyerahan Bantuan Banjir Usahawan Keluarga Malaysia, di sini hari ini.

Noh berkata geran tanpa bayaran balik itu telah dibuka untuk permohonan sejak 22 Februari lepas dan peruntukan di bawah geran itu akan memberi manfaat kepada 16,666 usahawan berkenaan.

"Sehingga kini seramai 9,720 usahawan daripada Tekun Nasional, Amanah Ikhtiar Malaysia serta Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil dikenal pasti layak menerima bantuan di bawah geran ini manakala 2,038 usahawan lagi telah membuat permohonan secara dalam talian dan akan dipertimbangkan untuk kelulusan" katanya.

Sementara itu, Noh berkata bantuan RM3,000 turut akan disalurkan kepada usahawan terkesan banjir gelombang kedua di Terengganu dan Kelantan.

"Berdasarkan rekod masih terdapat kuota kira-kira 4,000 lagi daripada 16,666 usahawan yang terkesan sebelum ini bagi gelombang pertama," katanya.

Dalam perkembangan yang sama, Ahli Parlimen Tanjung Karang tersebut memohon kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara, khususnya di Selangor untuk lebih bertimbang rasa dengan tidak mengenakan tindakan kepada peniaga yang tidak berlesen disebabkan terjejas oleh pandemik COVID-19 dan banjir.

"Kita hendak bangkitkan semula semangat usahawan-usahawan ini, oleh itu kita berikan sumbangan geran RM3,000 untuk berniaga tetapi dikenakan pula saman PBT. Geran yang dapat habis untuk bayar saman pula, jadi apa maknanya kerajaan tolong," katanya.

-- BERNAMA