KUALA LUMPUR: Media tempatan dianggarkan mengalami kerugian kira-kira RM2 bilion daripada jumlah RM4.5 bilion hasil iklan tahunan kepada tiga gergasi media sosial iaitu Meta, Google dan TikTok.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata perkara berkenaan merupakan antara cabaran terbesar dan serius dihadapi organisasi media di negara ini.

Beliau berkata kementerian memandang serius isu berkenaan yang perlu diperincikan dan diberikan penekanan memandangkan ketika ini hasil daripada iklan hanya dibayar kepada syarikat penyedia platform media sosial dan bukannya kepada organisasi media.

"Saya lihat perlu ada keseimbangan, supaya ada sedikit pulangan kepada syarikat media ... (perkara) ini masih dalam perbincangan dan saya percaya semua pihak boleh dibawa ke meja rundingan supaya satu suasana yang kondusif dapat dilaksana dan direalisasikan.

"Kita boleh aplikasikan tentang bagaimana kita menguruskan isu berkaitan pelaksanaan 5G sebelum ini yang saya berupaya untuk jemput semua syarikat telekomunikasi duduk berbincang dan akhirnya semua setuju, jadi cara pengurusan itu boleh digunakan dalam ikhtiar selesaikan isu perbelanjaan pengiklanan ini," katanya.

Fahmi berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas hadir menyampaikan ucaptama pada Majlis Perasmian 'Transcending Disinformation: Towards Responsible Media Consumption' anjuran Institut Pembangunan Penyiaran Asia Pasifik (AIBD) di sini hari ini.

Beliau pada masa sama berharap platform media sosial akan mengadakan banyak sesi libat urus dengan organisasi media untuk membantu mereka menggunakan platform media sosial dengan berkesan dan cekap.

Ditanya mengenai kekosongan jawatan Ketua Pengarah di Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) ketika ini, Fahmi berkata berkata beliau akan bertemu pengurusan jabatan itu hari ini, antara lain bagi membincangkan mengenai pelantikan baharu mengisi jawatan itu secepat mungkin.

Beliau berkata dalam pertemuan itu, beliau akan mendapatkan maklumat lanjut sama ada jabatan berkenaan sudah ada pengganti Ketua Pengarah baharu yang dipilih ketika di bawah seliaan Jabatan Perdana Menteri (JPM), memandangkan J-KOM baru sahaja dipindahkan ke Kementerian Komunikasi berkuat kuasa semalam.

"Sebelum ini, Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) pernah sebut ada pengganti telah dikenal pasti, namun dari segi pentadbirannya sama ada telah berkuat kuasa atau belum itu akan dipastikan dalam perjumpaan hari ini. Tiada tarikh akhir tapi pelantikan ini (Ketua Pengarah J-KOM) akan dibuat sesegera mungkin kerana ia penting, berikan saya sedikit masa," katanya

Ditanya sama ada pelantikan Ketua Pengarah J-KOM baharu adalah dalam kalangan penjawat awam atau lantikan luar, Fahmi berkata beliau belum mengetahuinya dan perkara itu akan dibincangkan sewaktu perjumpaan hari ini.

Pada 15 Nov lepas, Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff mengesahkan beliau telah menghantar surat peletakan jawatan sebagai Ketua Pengarah J-KOM kepada Perdana Menteri, hanya sembilan bulan selepas dilantik menerajui jabatan itu pada 2 Feb.

-- BERNAMA