SHAH ALAM: Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) tidak bersetuju sekiranya syarikat swasta diwajibkan membayar elaun kepada pelatih industri, sebaliknya perlu mengikut budi bicara mereka.

Presidennya, Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman berkata, walaupun belum ada kajian mengenai elaun kepada pelatih industri tetapi berdasarkan maklum balas daripada majikan, ia adalah amalan biasa bagi sektor swasta.

“Kebiasaannya elaun latihan yang ditawarkan kepada pelatih industri adalah antara RM500 hingga RM1,800 sebulan, bergantung kepada kemampuan syarikat untuk membayar elaun.

“Firma besar biasanya mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh dibandingkan dengan PMKS (perusahaan mikro, kecil dan sederhana) yang cenderung menggunakan program latihan industri sebagai salah satu strategi mereka untuk menarik bakat.

“Ada pelatih industri ditawarkan peluang pekerjaan tetap selepas penamatan program latihan jika berjaya menunjukkan kebolehan dalam tempoh tersebut,” katanya kepada Sinar Harian.

Jelas Syed Hussain, syarikat tidak memberikan elaun latihan berdasarkan beban kerja dan tanggungjawab yang diberikan kepada pelatih kerana tugasannya lebih ringan daripada pekerja sepenuh masa.

Sebaliknya, elaun itu diberikan sebagai wang saku yang mengiktiraf sumbangan mereka kepada syarikat.

“Pelatih industri harus menganggap program latihan sebagai peluang pembelajaran dan bukannya cara untuk mendapatkan wang. Syarikat biasanya menempatkan mereka di jabatan yang sesuai dengan bidang pengajian dan kelayakan berkaitan.

“MEF juga berpendapat, kerajaan perlu memberi budi bicara kepada majikan untuk menentukan penempatan pelatih industri kerana syarikat lebih mengetahui kemahiran dan bakat yang diperlukan mereka.

“Majikan memikul tugas penting apabila mengambil bahagian dalam program latihan industri. Ia merupakan kos tambahan kepada mereka kerana bayaran elaun latihan industri dan kos lain meningkatkan kos sumber manusia organisasi itu,” ujar beliau. - Sinar Harian