Mekanik mengaku tidak bersalah liwat anak tiri sindrom Down

Tertuduh dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Ipoh pada Khamis selepas dituduh meliwat anak tirinya yang juga OKU sindrom Down. - Gambar/ Astro AWANI
IPOH: Seorang mekanik didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas pertuduhan meliwat anak tirinya yang juga orang kurang upaya (OKU) sindrom Down, minggu lalu.
Ringkasan AI
- Seorang mekanik didakwa di Mahkamah Sesyen atas tuduhan meliwat anak tirinya OKU sindrom Down.
- Tertuduh berumur 40 tahun mengaku tidak bersalah dan didakwa melakukan persetubuhan terhadap kanak-kanak lelaki berumur 11 tahun.
- Mahkamah membenarkan tertuduh dijamin RM8,000 dengan syarat melapor diri ke polis setiap bulan serta tidak mengganggu mangsa dan saksi.
Dia dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Bandar Universiti, Seri Iskandar, dalam daerah Perak Tengah, kira-kira jam 7 malam 2 Disember lalu.
Pertuduhan dibaca mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebatan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Arfahanim Azureen Arfanuddin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Nor Arfahanim tidak menawarkan jaminan berikutan mangsa masih kanak-kanak dan merupakan anak tiri tertuduh.
Namun, sekiranya mahkamah membenarkannya, pihak pendakwaan menawarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin yang bukan dalam kalangan ahli keluarga.
Tertuduh memohon jaminan minimum kerana pendapatannya hanya RM1,800 sebulan di samping pendapatan isterinya sebagai peniaga pakaian terpakai sekitar RM500 sebulan, selain perlu menyara dua anak termasuk mangsa.
Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh dijamin RM8,000 dengan seorang penjamin beserta dua syarat tambahan, iaitu perlu melapor diri ke balai polis pada setiap awal bulan serta tidak mengganggu mangsa serta saksi sehingga kes selesai dibicarakan.
Mahkamah menetapkan 29 Januari 2026 sebagai tarikh sebutan semula kes bagi serahan dokumen.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


