KUALA LUMPUR: Mekanisme levi pelbagai peringkat (MTLM) yang akan dilaksanakan menjelang akhir tahun ini atau awal 2025 perlu dilakukan seiring dengan proses permohonan dan kelulusan pekerja asing dalam talian secara tunggal, kata Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM).

Ini akan mengukuhkan keseluruhan proses pengambilan pekerja asing di Malaysia, dan tindakan itu penting untuk menerima pakai lebih banyak teknologi, kata FMM.

"Satu kementerian harus menguruskan pekerja asing untuk memastikan pentadbiran yang holistik, adil dan telus tanpa campur tangan manusia yang tidak perlu," katanya.

Tambahnya sistem levi pelbagai peringkat harus telus, mudah dilaksanakan dan jelas mengenai kos dan kenaikan kadar yang secara beransur-ansur bagi meminimumkan kesannya terhadap perniagaan.

Insentif juga perlu disediakan untuk mengurangkan penggunaan pekerja asing, kata FMM.

"Mekanisme levi pelbagai peringkat harus dilaksanakan untuk semua sektor ekonomi," kata kenyataan itu.

FMM berkata kadar levi perlulah berdasarkan kepada bilangan pekerja asing yang diambil untuk bekerja dan kenaikan levi hendaklah secara beransur-ansur, dirancang dan dimaklumkan setahun lebih awal.

Ia juga berkata keperluan pekerja tempatan kepada pekerja asing dalam nisbah 80:20 yang telah ditangguhkan sehingga Disember 2024, perlu disemak memandangkan mekanisme yang menjamin kelulusan berdasarkan kepada keupayaan majikan untuk membayar.

FMM berkata peratusan tertentu daripada levi yang dikutip harus disalurkan semula ke dalam industri untuk membiayai latihan dan meningkatkan kemahiran pekerja tempatan melalui dana perantisan nasional dan mengautomasikan proses perniagaan melalui dana automasi nasional untuk mengurangkan pergantungan kepada pekerja asing yang berkemahiran rendah.

-- BERNAMA