MALAYSIA
Mekanisme pemantauan dipertingkat, pastikan bekalan mencukupi untuk program SARA - Fahmi

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berucap pada Program Kopi-Kopi di Dewan Kampung Sungai Imam, Tawau hari ini. - Foto Bernama
TAWAU: Kerajaan mempertingkat mekanisme pemantauan untuk memastikan bekalan barangan keperluan asas, terutamanya beras, sentiasa mencukupi bagi memenuhi permintaan rakyat menerusi program Penghargaan Sumbangan Asas Rakyat (SARA).
Ringkasan AI
- Kerajaan mempertingkat mekanisme pemantauan menggunakan data masa nyata untuk memastikan bekalan barangan asas, khususnya beras, mencukupi di bawah program SARA.
- Isu bekalan akan dibincangkan dalam mesyuarat minggu depan, termasuk cadangan tambah lokasi tebusan dan wujudkan talian hotline bagi aduan sistem.
- Beras tempatan antara produk paling laris sehingga stok habis di beberapa lokasi; jumlah premis SARA kini meningkat kepada lebih 7,300.
"Bagi bekalan seperti beras, ia di bawah kawal selia Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM). Jadi saya akan minta agar berdasarkan seminggu pelaksanaan SARA, kita dapat anggarkan kuantiti stok dan langkah yang perlu diambil untuk memastikan tiada gangguan bekalan," katanya kepada pemberita selepas meninjau pelaksanaan SARA di sebuah pasar raya di Merotai, di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Seri Mohamad Fauzi Md Isa dan Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Julina Johan.
Fahmi berkata isu bekalan barangan di bawah program SARA akan dibincangkan dalam mesyuarat pada Rabu minggu hadapan, dengan mekanisme khas akan dirangka bagi mengimbangi permintaan dan bekalan di lokasi tertentu.
Beliau berkata tinjauan hari ini mendapati beras tempatan antara produk yang mendapat permintaan tertinggi sehingga menyebabkan stok habis dijual di pasar raya berkenaan.
Di Dewan Undangan Negeri Merotai, katanya, hanya terdapat dua lokasi tebusan barangan SARA dan kajian akan dilakukan bagi menentukan keperluan penambahan lokasi berdasarkan permintaan semasa.
"Program SARA bermula dengan jumlah 700,000 penerima melibatkan kira-kira 2,000 premis. Tetapi kini, jumlahnya uapi hari ini kita ada lebih 7,300 premis. Jadi saya percaya jumlah itu boleh ditingkatkan," katanya.
Selain itu, katanya terdapat keperluan mewujudkan talian hotline khas berikutan aduan daripada penerima SARA dan petugas kaunter antaranya mengenai sistem yang kadangkala tidak berfungsi.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami