Mekanisme pengesahan umur pengguna media sosial tangani isu pengantunan kanak-kanak - Pakar

Amirudin berkata, pemangsa lazimnya menggunakan akaun palsu atau identiti rekaan dan mendekati mangsa bawah umur melalui pendekatan yang lebih mesra sebelum memujuk mangsa untuk berkongsi gambar intim atau bertemu di luar. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Peningkatan kes jenayah seksual melibatkan pengantunan kanak-kanak atau eksploitasi melalui media sosial menimbulkan kebimbangan masyarakat yang mermperlihatkan perlunya pelaksanaan mekanisme pengesahan umur lebih ketat bagi melindungi golongan itu.
Ringkasan AI
- Malaysia merancang melaksanakan sistem eKYC untuk media sosial bagi menghalang kanak-kanak bawah 13 tahun mendaftar akaun dan menyukarkan akaun palsu yang digunakan untuk pengantunan atau eksploitasi seksual.
- Pelaksanaan eKYC perlu berhati-hati kerana ia melibatkan data peribadi sensitif kanak-kanak; alternatif seperti pengesahan umur pihak ketiga boleh lebih selamat dan beretika.
- Peranan ibu bapa penting dalam pencegahan awal, melalui komunikasi terbuka dan bimbingan mengenai interaksi sihat di media sosial bagi melindungi anak daripada pengantunan dan trauma psikologi jangka panjang.
Pada Rabu, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil dilaporkan berkata Malaysia bakal mewajibkan semua platform media sosial melaksanakan proses pengesahan identiti pengguna atau eKYC bagi memastikan kanak-kanak di bawah umur 13 tahun tidak memiliki akaun.
Bagaimanapun, Amirudin berkata langkah itu perlu dilaksana secara berhati-hati kerana wujud cabaran dari segi kos penyepaduan eKYC dengan plaform besar sepeti Meta dan TikTok, privasi pengguna serta kebolehcapaian kepada semua lapisan masyarakat.
Amirudin berkata pemangsa lazimnya menggunakan akaun palsu atau identiti rekaan dan mendekati mangsa bawah umur melalui pendekatan yang lebih mesra seperti hadiah maya, sebelum mangsa dipujuk untuk berkongsi gambar intim atau bertemu di luar.
"Ada kanak-kanak yang mencari perhatian dan kasih sayang di dalam talian. Situasi ini dimanfaatkan groomers yang menyamar sebagai rakan sebaya mereka dan perlahan-lahan membina kepercayaan mangsa sebelum mengalih perbualan ke arah yang lebih peribadi atau sensitif," katanya.
Timbalan Penasihat Undang-undang di Pejabat Penasihat Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Prof Madya Dr Sonny Zulhuda turut bersetuju bahawa sistem eKYC mampu mengurangkan jumlah akaun palsu.
Beliau juga senada bahawa ia perlu dilaksanakan secara berhati-hati kerana pengguna dituntut menyerahkan maklumat peribadi sensitif seperti pengenalan wajah dan dokumen rasmi, sesuatu yang sukar dikawal keselamatannya apabila melibatkan kanak-kanak.
"Kanak-kanak merupakan kumpulan paling terdedah kerana mereka cenderung memberikan data peribadi tanpa memahami risiko. Jika data ini disimpan atau diakses oleh pihak tidak bertanggungjawab, ia boleh membawa kepada ancaman lain seperti pencurian identiti dan eksploitasi digital," katanya.
Sebagai alternatif, Sonny mencadangkan kerajaan meneliti pendekatan 'pengesahan umur pihak ketiga' seperti yang sedang diterokai oleh lima negara Kesatuan Eropah, iaitu Denmark, Perancis, Greece, Itali dan Sepanyol bawah inisiatif Digital Services Act (DSA).
"Dalam model pengesahan umur pihak ketiga ini, data pengguna tidak terus dihantar kepada syarikat media sosial. Sebaliknya, pihak ketiga yang dilantik akan mengesahkan umur pengguna dengan hanya memberikan status 'lulus' atau 'gagal' kepada platform besar terbabit," katanya sambil menambah model itu lebih beretika dan selamat.
Di samping memastikan platform media sosial tidak mengumpul maklumat berlebihan tentang pengguna bawah umur, beliau berkata pendekatan itu juga berupaya menghalang kanak-kanak di bawah umur 13 tahun daripada mendaftar akaun secara bebas.
Pakar Psikiatri dan Pensyarah Jabatan Psikiatri di Kuliyyah Perubatan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Asst Prof Dr Hijaz Ridzwan pula menegaskan bahawa langkah pencegahan perlu bermula di rumah melalui komunikasi terbuka antara ibu bapa dan anak.
"Ibu bapa perlu menjadi contoh kepada anak, bukan sekadar memberi arahan. Mereka harus menunjukkan cara berinteraksi secara sihat di media sosial, berbincang tentang batas perbualan dan cara mengenal pasti tingkah laku mencurigakan. Ini adalah asas kepada celik digital sebenar," katanya.
Hijaz berkata komunikasi yang berasaskan empati dan kepercayaan akan membantu anak berasa lebih selamat untuk berkongsi apabila mereka berdepan situasi tidak selesa dalam talian sekali gus memperkukuh pertahanan awal terhadap risiko pengantunan dan eksploitasi seksual di alam siber.
Beliau berkata kesan jenayah pengantunan kanak-kanak boleh menjadi mendalam dan berpanjangan, melibatkan trauma psikologi yang tidak mudah pulih.
Mangsa lazimnya berdepan rasa bersalah, takut dan keliru selepas menyedari mereka telah diperdaya, selain mengalami gangguan kepercayaan terhadap orang lain dan masalah harga diri apabila meningkat dewasa.
"Sebahagian mangsa membawa kesan ini sehingga alam dewasa menyebabkan mereka mungkin menghadapi kesukaran membina hubungan sihat, mengalami tekanan emosi atau mengulangi pola perhubungan yang tidak selamat kerana pernah dimanipulasi ketika kecil," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami