MALAYSIA
Kerajaan tangani isu berkaitan badan kehakiman berpandukan Perlembagaan Persekutuan - Azalina

Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, kerangka etika kehakiman seperti Kod Etika Hakim 2009 bertujuan menjamin kebebasan badan kehakiman daripada pengaruh politik, sekali gus mengekalkan keyakinan rakyat terhadap sistem keadilan negara.
KUALA LUMPUR: Kerajaan menegaskan komitmen untuk menangani isu berkaitan kebebasan badan kehakiman yang dibangkitkan Badan Peguam Malaysia, secara bertanggungjawab dan telus berpandukan Perlembagaan Persekutuan.
Ringkasan AI
- Kerajaan melaksanakan Kajian Perbandingan Sistem Pelantikan Kehakiman bersama Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen bagi meningkatkan ketelusan dan memperjelas peranan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC).
- Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan mekanisme jelas untuk menangani salah laku hakim, termasuk penubuhan tribunal khas oleh Yang di-Pertuan Agong dan rujukan etika kepada Jawatankuasa Etika Kehakiman.
- Kerangka etika kehakiman seperti Kod Etika Hakim 2009 bertujuan menjamin kebebasan badan kehakiman daripada pengaruh politik, sekali gus mengekalkan keyakinan rakyat terhadap sistem keadilan negara.
"Kerajaan sentiasa terbuka kepada pandangan semua pihak termasuk Badan Peguam Malaysia, yang juga akan dijemput menyertai kajian ini bagi memastikan sistem pelantikan hakim yang lebih telus, berintegriti dan diyakini rakyat.
"Selain itu, isu-isu yang dibangkitkan oleh Badan Peguam Malaysia wajar dilihat selaras dengan Perlembagaan Persekutuan, Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009 [Akta 695] dan undang-undang lain yang berkuat kuasa," katanya dalam kenyataan hari ini.
Justeru, Azalina berkata semua pihak perlu terus menghormati peranan dan proses perlembagaan yang menjadi teras kepada kebebasan badan kehakiman negara.
Beliau berkata Perlembagaan Persekutuan menetapkan mekanisme yang jelas untuk menangani salah laku hakim.
Perkara 125(3) dan (4) Perlembagaan Persekutuan, katanya memberi kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menubuhkan tribunal khas bagi menyiasat dakwaan salah laku, dan hakim yang disiasat boleh digantung tugas atas nasihat Perdana Menteri setelah berbincang dengan Ketua Hakim Negara.
Selain itu, Perkara 125(3A) memperuntukkan kuasa kepada Ketua Hakim Negara untuk merujuk sebarang pelanggaran etika kepada Jawatankuasa Etika Kehakiman yang ditubuhkan di bawah Akta Jawatankuasa Etika Hakim 2010 [Akta 703].
Perkara 125(3B) pula membolehkan penetapan kod etika bertulis bagi menetapkan piawaian tinggi kelakuan dan integriti hakim, manakala Judges' Code of Ethics 2009 [P.U. (B) 201/2009], yang berkuat kuasa sejak 1 Julai 2009 turut menjadi rujukan penting untuk menetapkan standard tingkah laku hakim secara jelas dan berlandaskan undang-undang.
Beliau berkata kerangka etika itu bertujuan memastikan badan kehakiman bebas daripada pengaruh politik atau luaran, sekali gus menjamin keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang.
"Proses ini bermakna Badan Eksekutif dan Badan Legislatif tidak boleh campur tangan dalam isu etika kehakiman. Kebebasan ini penting untuk mengekalkan keyakinan rakyat terhadap sistem keadilan negara," katanya.
Pada Isnin, Badan Peguam Malaysia mengadakan Perarakan Demi Mempertahankan Kebebasan Kehakiman di Putrajaya bertujuan menyerahkan memorandum empat tuntutan kepada Pejabat Perdana Menteri melibatkan isu kebebasan dan integriti badan kehakiman negara.
Peserta perarakan hadir dengan pakaian hitam sebagai simbol solidariti dan membawa plakad menuntut ketelusan dalam pelantikan kehakiman serta mendesak kerajaan mengambil tindakan segera terhadap krisis keyakinan terhadap institusi kehakiman negara.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami