MELAKA: Program 'Melaka Agro Market' dapat membantu rakyat mendapatkan barangan keperluan harian dengan harga lebih murah, kata Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pertanian dan Industri Asas Tani negeri Datuk Abdul Razak Abdul Rahman.

Beliau berkata menerusi program berkenaan, petani akan memasarkan barangan mereka terus kepada pengguna tanpa khidmat orang tengah, sekali gus membantu mengurangkan harga barangan di pasaran.

"Program ini akan diadakan di 50 lokasi strategik di sekitar Melaka pada setiap minggu, cuma lokasinya berubah-ubah. Walaupun berskala kecil namun ia memberi kesan amat besar kepada pengguna dari segi mengurangkan kos sara hidup.

"Contohnya, macam sayur kangkung. Biasanya dijual dengan harga RM6 seikat tapi hari ini kita dapat beli dengan harga RM2 sahaja," katanya kepada pemberita selepas meninjau program 'Melaka Agro Market' di Kampung Tun Razak, Bukit Katil di sini hari ini.

Hadir sama Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Melaka Hairudin Yunos.

Sebanyak 12 peserta terdiri daripada usahawan dan peniaga mengambil bahagian untuk memasarkan barangan jualan mereka di bawah program berkenaan bermula 7.30 pagi hingga 12 tengah hari.

Antara barangan dijual termasuk produk Agromas, buah-buahan dan sayur-sayuran serta bahan mentah seperti ayam dan udang.

-- BERNAMA