AYER KEROH: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mendapatkan perintah mahkamah untuk mewartakan zon larangan penerbangan dron sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bermula Isnin ini.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Hazani Ghazali berkata, tindakan itu diambil sebagai langkah mengelakkan sebarang kemungkinan tidak diingini sepanjang kempen itu berlangsung.

Beliau berkata, dron boleh mewujudkan ancaman dan juga provokasi selain berupaya membawa senjata termasuk cecair berbahaya.

“Dron juga boleh bawa racun ke gas beracun selain cecair yang melecurka, dron boleh bawa bom juga dan crash landing terhadap kumpulan-kumpulan tertentu yang mungkin tidak berpuas hati dan sebagainya,” kata Hazani.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikn latihan kawalan keselamatan bagi persediaan PRN Melaka di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka di Bukit Beruang di sini, pada Sabtu.

Mengulas lanjut, beliau berkata, zon larangan penerbangan dron itu dijangka diwartakan bermula Isnin ini.

Larangan itu, tegas Hazani, tertakluk kepada semua parti politik yang bertanding pada PRN berkenaan.

Bagaimanapun, mana-mana pihak termasuk pelancong yang ingin menerbangkan dron di negeri melaka, wajib mendapatkan permit daripada PDRM  terlebih dahulu.

Permohonan permit polis, jelas beliau, diperlukan bagi memudahkan pihak PDRM memantau pergerakan dron terbabit.

Dalam pada itu, katanya, polis Melaka akan memperketatkan sekatan jalan raya (SJR) di semua pintu masuk sempadan negeri.

Menurut beliau, sebanyak 17 SJR diadakan bagi memastikan hanya individu yang lengkap divaksin dibenarkan memasuki Melaka.