MELAKA: Sebanyak 51 bazar Ramadan dan sembilan bazar Aidilfitri bakal dianjurkan di bawah empat pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT) di Melaka, sepanjang bulan Ramadan ini.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin berkata daripada jumlah itu, sebanyak 23 bazar Ramadan dianjurkan dalam kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), masing-masing 10 bazar Ramadan dalam kawasan Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) dan Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG), manakala lapan bazar Ramadan di bawah pentadbiran Majlis Perbandaran Jasin (MPJ).

"Bagi bazar Aidilfitri pula, sebanyak lima bazar dibuka dalam kawasan MBMB dan masing-masing dua bazar di buka di bawah penatdbiran MPHTJ dan MPAG.

"Alhamdulillah pada tahun ini, kita tidak menghadapi banyak masalah bagi menganjurkan bazar Ramadan dan Aidilfitri, dengan lot sewaan tapak gerai jualan di kesemua bazar hampir penuh, namun ada beberapa perkara yang boleh diperbaiki lagi pada tahun hadapan," katanya kepada pemberita di sini pada Sabtu.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Jom Ke Sekolah Tahun 2024 anjuran MBMB melibatkan lebih 100 penerima, yang turut dihadiri Datuk Bandar MBMB Datuk Shadan Othman.

Rais berkata antara ikon bazar Aidilfitri yang anjurkan ialah Bazar Aidilfitri Jalan Hang Tuah atau dikenali sebagai Melaka Grand Ramadan Bazar, Bazar Aidilfitri Persisir Pantai Klebang (Grand Ramadan Bazar Klebang) dan Bazar Aidilfitri MITC.

Beliau berkata selain itu, sebanyak empat Bazar Ramadan Rahmah (BRR) turut dianjurkan di empat lokasi iaitu di Taman Cempaka, Masjid Tanah, Jasin Bestari dan Masjid Al-Alami MITC.

Rais berkata penyertaan penganjuran BRR berkenaan terhad kepada 50 peniaga bagi empat lokasi itu dan mereka perlu menawarkan sekurang-kurangnya satu Menu Rahmah berharga RM5 ke bawah.

"50 peniaga BRR yang berdaftar di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka akan menerima baucer e-dompet sebanyak RM100 seorang, selain beg cenderahati," katanya.

Dalam pada itu Rais berkata sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM 2024), penganjur bagi setiap bazar Ramadan dan Aidilfitri diminta untuk mempromosikan kempen berkenaan, menerusi apa jua bentuk aktiviti atau program yang boleh menarik kedatangan pengunjung dari dalam dan luar Melaka.

Beliau berkata PBT juga akan menjalankan pemantauan secara berkala di semua bazar Ramadan dan Aidilfitri di negeri itu, bagi memastikan tiada pihak mengambil kesempatan termasuk aktiviti ulat tiket yang boleh menjejaskan imej negeri dan keselesaan pengunjung.

"Saya juga menasihatkan peniaga makanan supaya memastikan juadah yang dijual boleh dimakan dan tidak memudaratkan pengguna selain memastikan harga berpatutan," katanya.

-- BERNAMA