MELAKA: Kerajaan negeri Melaka memberi jaminan tiada kenaikan harga bilik hotel dan penginapan lain sepanjang Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM 2024), kata Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Beliau berkata perkara berkenaan akan dipantau pihaknya bagi memastikan tiada pengusaha hotel dan penginapan di negeri itu mengambil kesempatan menaikkan harga sewenang-wenangnya.

"Kita akan memantau dan memerhatikan tidak ada kenaikan harga bilik sepanjang TMM 2024 kerana secara dasarnya pengusaha hotel dan penginapan di Melaka akan mendapat jumlah pengunjung yang lebih ramai daripada biasa.

"Tindakan ini (menaikkan harga) tidak akan menguntungkan mereka kerana pengunjung mempunyai pilihan kerana di Melaka terdapat banyak hotel, inap desa serta penginapan lain dan kita juga ada unit yang mengawal hotel terlibat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Kempen Cabutan Bertuah dan Kupon Diskaun sempena TMM 2024 serta Pelan Induk Pelancongan Negeri Melaka 2035 yang turut dihadiri Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Abdul Razak Abdul Rahman, di sini pada Rabu.

Dalam perkembangan lain, Ab Rauf berkata pengunjung berpeluang memenangi hadiah cabutan bertuah terdiri daripada lima kereta, tiga motosikal elektrik dan sebuah bot keseluruhan bernilai lebih RM500,000 sepanjang TMM 2024.

Beliau berkata antara syarat cabutan bertuah berkenaan ialah pengunjung perlu menginap selama tiga hari dua malam di hotel terpilih di Melaka dan berbelanja sebanyak RM500 di hotel berkenaan.

"Sebanyak tujuh syarikat terlibat dalam penajaan hadiah cabutan bertuah berkenaan antaranya kereta Maxus T60 serta Proton X70.

"Cabutan bertuah berkenaan akan dilakukan setiap tiga bulan sekali sepanjang TMM 2024 dan pengunjung boleh mendapatkan tiket cabutan bertuah itu di 10 hotel terpilih," katanya.

Terdahulu, beliau berkata pengunjung berpeluang memasuki Zoo Melaka dan Menara Taming Sari serta menaiki Melaka River Cruise secara percuma pada 20 Feb tahun hadapan sempena cuti umum Hari Perisytiharan Tarikh Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu.

Katanya, tiada had kemasukan pengunjung ditentukan pada hari berkenaan namun ia akan dikawal bagi memastikan perjalanan operasi setiap destinasi pelancongan itu berjalan lancar dan tidak sesak.

-- BERNAMA