MELAKA: Kerajaan negeri Melaka melaksanakan lima program bagi membantu penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di negeri itu keluar daripada garis kemiskinan.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Nordin berkata antara inisiatif dilaksanakan termasuklah 2 Years Exit Programme (2YEP) berteraskan keusahawanan bagi menggalakkan penerima berdikari dengan penglibatan secara aktif dalam menjana pendapatan sendiri.

"Berdasarkan statistik JKM Melaka, sebanyak 310 penerima bantuan menyertai program ini dengan peruntukan sebanyak RM883,500 yang meliputi modal dan latihan setiap peserta.

"Seramai 270 peserta tamat pemantauan setelah dua tahun diselia oleh pegawai yang ditetapkan sejak ia mula dilaksanakan pada 2016," katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka di Seri Negeri di sini pada Khamis.

Beliau menjawab soalan dikemukakan Tuminah Kadi @ Mohd Hashim (BN-Pantai Kundor) yang mahu tahu apakah perancangan kerajaan negeri untuk mengurangkan penerima sumbangan kebajikan dan mengeluarkan mereka daripada garis kemiskinan.

Mengulas lanjut, Kalsom berkata sebanyak 43 peserta berjaya dalam perniagaan diceburi dan ditamatkan bantuan, 108 peserta meningkatkan pendapatan antara RM300 hingga RM600 sebulan dan 35 peserta meningkatkan pendapatan antara RM601 hingga RM1,200 sebulan.

Beliau berkata 40 peserta bagi 2022 hingga 2023 masih lagi dalam pemantauan JKM manakala 84 peserta gagal meneruskan perniagaan dan sembilan peserta meninggal dunia.

"Antara program lain dijalankan adalah Projek ProWell membabitkan projek pemerkasaan ekonomi untuk golongan berkeperluan khas daripada Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK), penghuni institusi-institusi kebajikan dan penerima bantuan kewangan di bawah JKM.

"Selain itu Program Pemerkasaan Ekonomi (EEP) yang memberi alternatif dan peluang kepada warga emas di Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) untuk meluaskan peluang penjanaan ekonomi dan pembangunan warga emas," katanya.

Dua lagi program katanya adalah Program Perkhidmatan Job Coach yang diperkenalkan untuk menggalakkan pekerjaan kekal bagi Orang Kurang Upaya di pasaran pekerjaan terbuka dan kerjasama strategik dengan Petronas menerusi penghantaran produk ke kedai Mesra Petronas.

-- BERNAMA