ALOR GAJAH: Kerajaan Negeri Melaka akan memastikan masyarakat Orang Asli terus menikmati kemudahan dan bantuan yang dapat meningkatkan taraf hidup golongan itu, kata Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
Beliau berkata usaha itu termasuk membina sebuah dewan terbuka untuk masyarakat Orang Asli di Kampung Orang Asli Bukit Payung di sini melibatkan peruntukan sebanyak RM400,000.
"Selain itu, sebanyak enam komputer riba bernilai RM15,000 turut disumbangkan kepada anak-anak Orang Asli sebagai dorongan untuk mereka terus maju dalam pendidikan.
"Saya mahu anak-anak di Bukit Payung tahu bahawa latar belakang dan tempat mereka membesar tidak pernah menentukan sejauh mana mereka boleh pergi, kalau mereka mahu belajar, mahu berjaya dan mahu mengubah masa depan keluarga, kerajaan akan berdiri bersama mereka," katanya ketika berucap pada Program Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Taboh Naning di sini semalam.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taboh Naning Datuk Zulkiflee Mohd Zin.
Ab Rauf berkata peranan kerajaan negeri bukan sekadar memberikan bantuan, tetapi mewujudkan inisiatif yang dapat membuka peluang kepada rakyat menjana pendapatan bagi memperbaiki kehidupan mereka.
Beliau berkata sebagai contoh, sumbangan motosikal roda tiga bernilai RM6,000 kepada seorang peniaga wanita hari ini yang bertujuan memudahkan penerima mencari rezeki dan meningkatkan pendapatan.
"Mungkin bagi sesetengah orang, nilainya nampak kecil tetapi bagi seorang peniaga kecil, bantuan seperti ini boleh menjadi alat untuk mencari rezeki, menyara keluarga dan berdiri semula dengan usaha sendiri," katanya.
"Apa yang saya sebutkan ini bukan sekadar senarai bantuan tetapi di sebalik setiap angka ini, ada nilai kemanusiaan yang perlu kerajaan hari ini lunaskan buat rakyat Melaka," katanya.
Sementara itu, penerima sumbangan motosikal roda tiga itu, Dahayah Abdullah, 55, dari Taman Jati Indah, Simpang Ampat di sini berkata kenderaan berkenaan akan dimanfaatkan sebaik mungkin untuk berniaga buah-buahan potong dan nasi lemak bagi menampung kelangsungan hidup.
Ibu kepada tujuh anak itu berkata motosikal yang digunakan ketika ini telah uzur dan ia digunakan sejak mula berniaga lebih 15 tahun lepas.
"Alhamdulillah, saya tidak menyangka akan menerima sumbangan yang sangat berharga...untuk membeli motosikal baharu memang tidak mampu," katanya.
-- BERNAMA