MELAKA: Kerajaan negeri terpaksa mengeluarkan peruntukan berjumlah RM700,000 bagi membaik pulih rumah nelayan di Kuala Linggi, Alor Gajah yang masih belum diduduki, ekoran perbuatan vandalisme oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Exco Pertanian, Penternakan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri Datuk Norhizam Hassan Baktee berkata kerja-kerja membaik pulih kira-kira 30 rumah berkenaan perlu dilakukan bagi membolehkan nelayan yang layak, dapat menduduki kediaman itu selewat-lewatnya Mei ini.

"Projek rumah nelayan berkenaan telah siap beberapa tahun lepas namun masih belum diduduki.

"Ini menyebabkan berlaku aktiviti vandalisme termasuklah tingkap, pintu serta pendawaian dirosakkan dan ia perlu dibaiki.

"Sekarang ini, kerajaan negeri menerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia sedang menjalankan sesi temu duga bagi menapis atau menilai kelayakan nelayan untuk menduduki rumah tersebut dan kita mahu mereka segera berpindah bagi mengelak kejadian sama (vandalisme) berulang," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Program Pelepasan Benih Ikan ke Perairan Umum dan Penyerahan Lesen Sampan Khas negeri Melaka di Empangan Sungai Batu Hampar di sini semalam, yang turut dihadiri Pengarah Jabatan Perikanan Melaka Mohd Fauzi Salehon.

Norhizam berkata setakat ini hanya 15 nelayan yang telah menjalani sesi temu duga, layak menduduki rumah berkenaan yang berharga RM45,000 seunit.

Sementara itu, pada program berkenaan, Norhizam melepaskan kira-kira 30,000 ekor anak ikan lampam sungai dengan anggaran peruntukan berjumlah RM8,400, serta menyerahkan lesen sampan khas kepada 30 nelayan.

Dalam perkembangan lain, Norhizam berkata sehingga semalam, Jabatan Perikanan Melaka telah mengeluarkan lesen kepada 1,096 nelayan di negeri itu terdiri daripada 896 pemilik vesel dan 200 awak-awak.

"Sebanyak 433 nelayan terdiri daripada pemilik vesel tidak lagi diberikan lesen menerusi program pemutihan yang dilaksanakan sejak 2015 dan kuota lesen yang telah ditarik balik itu akan diberikan kepada nelayan lain yang layak menerusi proses temu duga dan kelulusan daripada Ibu Pejabat Jabatan Perikanan Malaysia," katanya.

Beliau berkata nelayan yang telah menerima lesen perlu aktif turun ke laut sekurang-kurangnya 120 hari setahun selain bagi melayakkan mereka mendapat elaun sara hidup dan subsidi diesel.

-- BERNAMA