MELAKA: Melaka merekodkan 3.7 juta pelancong dalam tempoh 1 Jan hingga 25 Mac lepas sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM 2024), kata Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Abdul Razak Abdul Rahman.

Beliau berkata kira-kira 60,000 hingga 70,000 kenderaan sehari dicatatkan memasuki negeri itu pada setiap hujung minggu sekali gus menyumbang kepada peningkatan jumlah pengunjung dalam tempoh tiga bulan ini.

"Kita ada lagi kira-kira sembilan bulan dan saya yakin sasaran 18.7 juta pelancong dan pengunjung sempena TMM 2024 akan dapat dicapai menerusi pelbagai program dan aktiviti menarik berskala kecil dan besar yang telah dirangka untuk dilaksanakan sepanjang tahun ini.

"Melaka juga banyak terpilih menjadi tuan rumah untuk menganjurkan program-program berskala besar menerusi pelbagai kementerian, jabatan dan agensi seperti sambutan Hari Belia Negara pada Mei ini," katanya kepada pemberita di sini malam tadi.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Meraikan Kedatangan Pelancong dan Kepulangan Perantau ke Melaka di Pusat Penerangan Pelancongan di Ayer Keroh di sini.

Dalam pada itu, Abdul Razak berkata 8.63 juta pelancong direkodkan ke Melaka pada tahun lepas iaitu peningkatan 42.77 peratus berbanding 2.59 juta pelancong pada 2022.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 7.37 juta orang merupakan pelancong domestik manakala 1.26 juta orang ialah pelancong asing," katanya.

Selain itu, beliau berkata pasar terapung atau 'floating market' yang dibangunkan di Sungai Melaka Fasa Dua di sini dijangka mula beroperasi pada pertengahan bulan ini.

Katanya sebanyak 40 peniaga akan beroperasi di khemah jualan yang disediakan dan 30 sampan juga ditempatkan di sepanjang sungai berkenaan bagi menawarkan pelbagai produk makanan, minuman dan pelancongan popular negeri.

-- BERNAMA