MELAKA: Melaka mencatatkan rekod pelaburan tertinggi dalam sejarah negeri itu sejak 22 tahun lepas, apabila merekodkan nilai pelaburan berjumlah RM14.68 bilion melibatkan 312 projek yang diluluskan sepanjang 2025.
Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata pencapaian itu berdasarkan data yang dikeluarkan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), sekali gus mencerminkan keyakinan pelabur terhadap kestabilan pentadbiran serta hala tuju pembangunan ekonomi negeri berkenaan.
Advertisement
“Kestabilan pentadbiran kerajaan negeri menjadi faktor penting yang meyakinkan pelabur untuk terus mengekal dan memperluaskan operasi mereka di negeri ini.
“Ada beberapa syarikat konglomerat yang beroperasi di Melaka telah bertapak hampir 52 tahun, sekali gus menunjukkan negeri ini mempunyai ekosistem pelaburan yang kondusif termasuk daripada segi tenaga kerja,” katanya di sini pada Isnin.
Terdahulu, beliau menyempurnakan Perhimpunan Pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka dan Sambutan Ihya Ramadan Penjawat Awam Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh.
Ab Rauf berkata kerajaan negeri turut memberi tumpuan kepada pembangunan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi memastikan bekalan tenaga kerja yang memenuhi keperluan industri dan pelabur.
“Inisiatif itu membolehkan pelabur memperoleh tenaga kerja mahir yang menepati keperluan industri, sekali gus menyokong pertumbuhan ekonomi negeri secara mampan.
“Saya berharap semua projek diluluskan ini akan memberikan dan menjana peluang pekerjaan kepada 4,000 orang, khususnya warga Melaka,” katanya.
Dalam pada itu, Ab Rauf berkata kerajaan negeri bersetuju memberi kemudahan tempat letak kenderaan secara percuma selama tujuh hari, melibatkan kesemua kawasan pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT) sempena sambutan Aidilfitri.
Beliau berkata inisiatif itu melibatkan 39,696 petak parkir dengan implikasi kewangan sebanyak RM901,297.
-- BERNAMA