Skip to main content

Malaysia

Polis terima laporan pelajar kolej maut kena bilah sabit di Teluk Intan

SINAR HARIAN
Lokasi kejadian pelajar kolej maut akibat cedera parah dipercayai terkena bilah sabit pada bahagian leher. - Foto Sinar Harian

IPOH: Polis mengesahkan telah menerima laporan berkaitan kejadian yang mengakibatkan kematian seorang pelajar kolej berusia 18 tahun, dalam satu insiden di Teluk Intan pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Bakri Zainal Abidin berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah pada bahagian leher.

Advertisement

Menurutnya, seorang lagi mangsa yang juga pelajar kolej berumur 17 tahun dan rakan kepada si mati, turut mengalami kecederaan pada bahagian tangan dan kini sedang menerima rawatan lanjut.

“Hasil siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku apabila sebilah sabit berhulu panjang yang dibawa oleh seorang lelaki terkena pada bahagian leher mangsa ketika kedua-dua motosikal berada berhampiran antara satu sama lain di atas jalan,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Beliau berkata, kejadian tersebut menyebabkan mangsa terjatuh daripada motosikal.

Susulan kejadian itu, kata Bakri, polis telah menahan dua lelaki warga asing, masing-masing berusia 39 dan 52 tahun, bagi membantu siasatan.

Menurutnya, polis turut merampas beberapa barangan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian tersebut, termasuk sebilah sabit berhulu panjang dan sebuah motosikal.

Kes disiasat di bawah Seksyen 304(A) Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian tanpa niat membunuh.

Kedua-dua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Teluk Intan untuk permohonan reman, bagi membantu siasatan.

Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan polis.

Must Watch Video