MELAKA: Implikasi kewangan berjumlah RM309,921.67 ditanggung pihak berkuasa tempatan (PBT) di Melaka, ekoran kejadian 173 kes pokok tumbang dilaporkan dalam tempoh 1 Jan hingga semalam, kata Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar Negeri Datuk Zaidi Attan.

Beliau berkata daripada jumlah itu, sebanyak 245,725.47 dibelanjakan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) bagi mengurus kejadian pokok tumbang di kawasan pentadbirannya, diikuti Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) (RM55,250), Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) (RM8,946.20) mankala tiada implikasi kewangan bagi kes berkenaan ditanggung Majlis Perbandaran Jasin (MPJ).

"Secara keseluruhan, sebanyak 173 pokok dilaporkan tumbang di negeri ini dengan 31 pokok dilaporkan di kawasan MBMB termasuk lapan kes dilaporkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong, MPAG (58 pokok), MPHTJ (76 pokok) dan MPJ (lapan pokok).

"Ketika ini PBT di Melaka mengguna pakai Manual Pemangkasan Pokok Ameniti dan Garis Panduan Landskap Negara, yang diterbitkan Jabatan Landskap Negara dalam mengurus pokok utama di kawasan pentadiran masing-masing," katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan dikemukakan Mohd Helmy Halem (BN-Duyong) yang ingin tahu statistik kejadian pokok tumbang di Melaka, termasuk di DUN Duyong sepanjang tahun ini dan implikasi kewangan ditanggung kerajaan negeri.


Zaidi berkata dalam menentukan setiap pokok berada dalam kategori sihat dan selamat, beberapa tindakan dilaksanakan antaranya menjalankan penilaian risiko pokok sewaktu kerja-kerja merekodkan inventori dilakukan di lapangan, membuat tindakan berdasarkan aduan orang awam selain pemantauan berkala, mencantas serta menebang pokok tidak selamat.

Beliau berkata Unit Kerajaan Tempatan di peringkat akhir menyediakan Garis Panduan Landskap Negeri Melaka-Jilid: Pengurusan dan Penyelenggaraan Pokok Utama/ Ameniti Pinggiran Jalan yang turut mengandungi Garis Panduan Penebangan Pokok di Melaka dan ia akan diguna pakai semua PBT di negeri itu selepas mendapat kelulusan daripada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Melaka.

Sementara itu, Zaidi berkata sebagai langkah mengurangkan kejadian pokok tumbang di negeri itu, pokok dikategorikan berisiko tinggi akan dipotong sebahagian daripadanya, manakala pokok kategori sederhana dan rendah akan melalui proses rawatan, meliputi kaedah ditetapkan.

Menjawab soalan tambahan Mohd Helmy berkaitan ganti rugi melibatkan kes pokok tumbang melibatkan penduduk, Zaidi berkata sekiranya pokok terlibat ditanam PBT, tuntutan berkenaan boleh dibuat terus kepada PBT terlibat dengan mengemukakan dokumen lengkap, antaranya gambar kerosakan (berwarna), salinan kad pengenalan, salinan lesen memandu, salinan laporan polis, salinan geran dan salinan perubatan.

-- BERNAMA