KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan telah menyerahkan bayaran pendahuluan sebanyak RM55 juta kepada Melaka bagi menampung aliran tunai operasi di negeri berkenaan sehingga Disember tahun ini.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz memaklumkan kepada Dewan Rakyat hari ini, pembayaran tersebut dibuat pada 10 Nov lepas.

Katanya, setiap tahun kerajaan akan memperuntukkan satu jumlah tertentu daripada Kumpulan Wang Rizab Negeri untuk membantu negeri yang kekurangan hasil.

Selain bayaran pendahuluan seperti diberikan di Melaka, pemberian defisit atau Pemberian Kekurangan Wang Dalam Akaun Urus juga merupakan cara kerajaan Persekutuan membantu kerajaan negeri. 

“Bagi pemberian defisit, negeri-negeri yang terkesan, negeri yang telah menerima bantuan ini adalah Perlis, Kedah, Kelantan, Pahang dan juga Melaka.

“Secara keseluruhan, Kerajaan Persekutuan telah menyalurkan bantuan defisit ini sebanyak lebih RM600 juta dari tahun 2014 hingga 2021,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) yang bertanya berkaitan peruntukan dan perkembangan ekonomi di Melaka.

Kerajaan bantu negeri alami kekurangan hasil - Tengku Zafrul

Tengku Zafrul berkata, kerajaan juga memperuntukkan RM210 juta di bawah pemberian tahunan kepada Melaka pada 2022, selain RM574 juta di bawah perbelanjaan pembangunan.

Selain itu, beliau memberitahu Dewan, Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Melaka pada 2020 menguncup 5.9 peratus, lebih tinggi daripada KDNK Malaysia yang merekodkan penguncupan 5.6 peratus.

“Ini adalah disebabkan oleh sektor perkhidmatan dan pelancongan yang terjejas akibat COVID-19 yang mengakibatkan ramai rakyat hilang pekerjaan. Perniagaan juga berhadapan masalah kecairan kewangan.

“Bahkan, kadar pengangguran juga meningkat menjadi 2.2 peratus pada 2020,” ujarnya.