MELAKA: Melaka meneruskan perkhidmatan bas percuma dengan melancarkan Program Bas Penyayang yang memberi manfaat kepada kira-kira 33,000 orang golongan yang layak di negeri itu.

Ketua Menterinya, Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata, perkhidmatan itu juga bakal melibatkan semua laluan bas henti-henti milik syarikat Panorama Melaka Sdn Bhd berbanding hanya tiga laluan sebelum ini.

"Kalau dulu tiga laluan iaitu laluan 24A, 2B Melaka Sentral ke MITC dan laluan 34 Melaka Sentral ke Hospital Besar, hari ini ia melibatkan bukan hanya tiga laluan, tetapi seluruh laluan di Melaka.

"Melalui Program Bas Penyayang ini (pula) kita bagi percuma untuk golongan tertentu terutamanya seperti penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), orang kurang upaya (OKU), asnaf dan fakir miskin.

"Mereka akan menerima Kad Penyanyang (yang boleh digunakan untuk menaiki bas berkenaan dengan percuma). Jadi hampir 33,000 orang akan mendapat manfaat... ia ia melibatkan kos sebanyak RM985,000," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran dan perasmian bas henti-henti baharu Panorama Melaka Sdn Bhd dan Program Bas Penyayang di Melaka Sentral pada Rabu.

Khidmat bas henti-henti itu merupakan satu keperluan yang ditetapkan oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat malaysia (APAD) bagi membolehkan syarikat berkenaan menjalankan fungsinya sebagai operator bas awam di Melaka.