Skip to main content

Bisnes

Kerajaan yakin Sabah, Sarawak terus jadi destinasi pelaburan berdaya saing

41741014709_TBMiti.jpg
MITI menjelaskan pelbagai inisiatif telah dan sedang dilaksanakan termasuk menggalakkan pelaburan dalam aktiviti hiliran berasaskan sumber tempatan seperti minyak dan gas, produk logam asas, petrokimia, pemprosesan makanan, produk kayu, produk sawit hiliran, biojisim dan tenaga boleh baharu. - Gambar fail
Advertisement

KUALA LUMPUR: Kerajaan yakin Sabah dan Sarawak akan terus menjadi destinasi pelaburan berdaya saing antaranya menerusi pembangunan industri hiliran berasaskan sumber asli, pengukuhan kawasan industri strategik serta peningkatan penyertaan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dalam rantaian bekalan.

Menurut Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), usaha itu sekali gus akan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti, mengekalkan bakat tempatan di kawasan luar bandar dan pedalaman serta menyumbang kepada pembangunan ekonomi yang lebih seimbang dan inklusif.

"MITI melalui agensinya, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) sentiasa komited untuk menggalakkan pelaburan asing dan pelaburan domestik yang berkualiti tinggi ke Sabah dan Sarawak khususnya dalam industri berasaskan sumber asli," jelasnya dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat yang disiarkan di laman sesawang Parlimen pada Khamis.

Kementerian itu menjawab soalan Edwin Anak Banta (GPS-Selangau) mengenai strategi MITI untuk menggalakkan pelaburan langsung asing (FDI) dan pelaburan domestik (DDI) dalam industri berasaskan sumber asli ke kawasan luar bandar dan pedalaman khususnya di Sarawak dan Sabah bagi mewujudkan peluang pekerjaan berpendapatan tinggi serta mengurangkan migrasi belia ke bandar. 

MITI menjelaskan pelbagai inisiatif telah dan sedang dilaksanakan termasuk menggalakkan pelaburan dalam aktiviti hiliran berasaskan sumber tempatan seperti minyak dan gas, produk logam asas, petrokimia, pemprosesan makanan, produk kayu, produk sawit hiliran, biojisim dan tenaga boleh baharu. 

Selain itu, di Sabah, kawasan seperti Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP), Kluster Industri Minyak Sawit (POIC) Lahad Datu dan POIC Sandakan terus diperkasakan bagi menyokong pembangunan industri hiliran berasaskan minyak dan gas serta komoditi tempatan, tambah MITI.

Kementerian itu memaklumkan di Sarawak pula, pembangunan Taman Perindustrian Samalaju dan Koridor Tenaga Boleh Baharu Sarawak (SCORE) terus menjadi pemangkin kepada pelaburan dalam industri logam, bahan termaju, tenaga dan petrokimia.

MITI dan MIDA bekerjasama dengan institusi pendidikan tinggi, institusi latihan teknikal dan vokasional (TVET), kerajaan negeri dan pihak industri untuk menyediakan latihan serta program peningkatan kemahiran yang selaras dengan keperluan industri semasa, menurutnya.

“Langkah ini bertujuan memastikan belia tempatan mempunyai akses kepada pekerjaan berkemahiran tinggi dan berpendapatan lebih baik dalam sektorsektor strategik yang berkembang di Sabah dan Sarawak, sekali gus mengurangkan keperluan untuk berhijrah ke bandar bagi mendapatkan peluang pekerjaan yang lebih baik,” jelas MITI.

-- BERNAMA 

 

Must Watch Video

Advertisement