Kerajaan negeri Melaka memberi jaminan bahawa negeri itu tidak akan berdepan situasi ‘kehabisan air’.

Malah tegas Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Mohd Sofi Abd Wahab, derita yang ditanggung ribuan penduduk ekoran terputus bekalan air yang semakin meruncing itu juga bukan satu ‘krisis’ dan hanya gangguan bekalan sementara.

Katanya, ini kerana, tiada sebarang catuan yang dilaksanakan buat masa ini dan gangguan bekalan air bersih itu hanya melibatkan 15 kawasan penempatan penduduk di daerah Melaka Tengah dan Jasin.

Mengakui paras Empangan Durian Tunggal yang merupakan empangan utama di negeri itu, melepasi tahap kritikal, namun jelasnya jumlah bekalan air bersih masih mencukupi untuk disalurkan kepada penduduk negeri itu selain pelan-pelan kontingensi yang telah disusun atur.

“Ini termasuk mengepam 40 juta gelen air sehari di Sungai Gersik, Muar, Johor dan bekalan air pukal berjumlah 12 juta liter sehari daripada kerajaan Negeri Sembilan melalui perjanjian memorendum persefahaman (MoU) di antara Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) dan Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS) yang telah dimeterai,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

BACA: Tiada sebarang catuan, hanya gangguan bekalan air di Melaka

BACA: Gangguan bekalan air di Melaka, ribuan penduduk terjejas


Sebelum ini Astro AWANI melaporkan, ribuan penduduk di Melaka menahan derita selepas berlaku gangguan air di negeri itu sejak minggu lalu.

Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari dalam kenyataan ringkasnya turut memaklumkan tiada sebarang catuan dilakukan dan gangguan itu bersifat sementara meskipun bekalan air di Empangan Jus berada pada tahap 45 peratus iaitu 19, 975 juta liter, manakala Empangan Durian Tunggal pula hanya 25 peratus iaitu sebanyak 7, 270 liter.


Berdasarkan jumlah itu, jelasnya bekalan air yang ada hanya mampu bertahan lebih sebulan lagi memandangkan kadar penggunaan air sekitar 600 juta liter sehari.

Empangan-empangan dan kolam-kolam tadahan hanya boleh mengeluarkan 550 juta liter sehari disebabkan tekanan air yang rendah menyebabkan ada kekurangan 50 juta liter sehari.

Mengulas mengenai kekurangan jumlah itu, Mohd Sofi berkata ia bukanlah satu kebimbangan yang mana bekalan air ke kediaman penduduk terjejas dapat diatasi menerusi 14 lori tangki yang disalurkan daripada konsesi air dari Johor, Negeri Sembilan, Perak, Selangor, Pulau Pinang dan Terengganu.

Ketika ditanya sampai bila gangguan berkenaan akan berlanjutan, ujar beliau, ia bergantung kepada taburan hujan berpanjangan pada perubahan angin monsun yang dijangka bermula hujung September ini sekali gus meningkatkan paras air di empangan dan kolam kolam tadahan.

Tambahnya, SAMB juga disaran untuk menambah baik sistem penyampaian maklumat atau notis-notis pemberitahuan kepada penduduk terjejas agar persediaan awal dapat dibuat.