Melaka wujud pusat pengumpulan hasil tani di pasar utama tahun depan

Inisiatif itu membantu usahawan tani menjual hasil mereka pada harga lebih baik sekali gus memberi manfaat kepada pengguna dengan harga lebih kompetitif. - Gambar hiasan/Astro AWANI
JASIN: Melaka bakal mewujudkan Pusat Pengumpulan Hasil Tani di pasar utama di negeri itu tahun depan, bagi membolehkan petani memasarkan produk mereka secara langsung tanpa melalui orang tengah.
Ringkasan AI
- Melaka akan menubuhkan Pusat Pengumpulan Hasil Tani di pasar utama negeri pada tahun depan, membolehkan petani menjual produk mereka sendiri tanpa melalui orang tengah.
- Inisiatif ini membantu petani menjual hasil dengan harga lebih baik, menjadikan harga produk lebih kompetitif untuk manfaat pengguna.
- RM21 juta disalurkan kerajaan Persekutuan bagi Projek Keterjaminan Makanan Melaka, termasuk untuk pembangunan pertanian seperti tanaman sayur-sayuran, buah-buahan, dan tanaman kontan.
"Kita tahu petani menghadapi masalah apabila perlu bergantung kepada orang tengah yang kadang-kadang mengawal harga selain pengguna juga boleh membeli secara terus (hasil pertanian) di situ," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Sambutan Hari Ladang Peringkat Daerah Jasin 2025 di Ladang Jagung Rim di sini pada Rabu.
Beliau berkata pusat pengumpulan berkenaan akan diuruskan melalui Pertubuhan Peladang Negeri Melaka bagi memastikan hasil tanaman seperti sayur-sayuran, buah-buahan dan tanaman kontan dapat dipasarkan secara terus kepada pengguna dengan harga berpatutan.
Beliau berkata sebanyak RM21 juta disalurkan kerajaan Persekutuan bagi Projek Keterjaminan Makanan Melaka dalam memastikan pembangunan pertanian dan pengeluaran makanan dapat dipertingkatkan termasuk perikanan, penternakan dan sebagainya.
"Bagi daerah Jasin sahaja, peruntukan di bawah program Jabatan Pertanian tahun ini adalah sebanyak RM6.4 juta daripada jumlah keseluruhan RM21 juta diperuntukkan untuk Melaka.
"Beberapa tanaman lain seperti rock melon, halia dan cili turut diusahakan di kawasan yang dikenal pasti, selain beberapa projek pertanian lain akan terus diperluas melalui kerjasama antara petani, koperasi dan pihak swasta," katanya.
Menurut beliau, kerajaan negeri juga sedia membantu petani yang tidak mempunyai tanah atau menghadapi kesukaran mengusahakan tanah milik sendiri dengan mendapatkan kerjasama Jabatan Pertanian untuk pembangunan pertanian.
- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


