KUALA LUMPUR: Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) perlu mengambil langkah-langkah untuk memastikan kelangsungan kecemerlangannya terus dapat bertahan dan relevan dalam mengharungi suasana baharu ini.

Pengerusi Lembaga Pengarah UKM, Tan Sri Abdul Wahid Omar berkata dalam suasana pandemik COVID 19 dan norma baharu ini, UKM tidak dapat lari daripada menghadapi cabaran dan isu-isu baharu yang melingkungi bidang pendidikan tinggi yang tidak pernah terjangka.

"Saya yakin hasrat ini akan dapat dicapai dengan adanya staf akademik dan pengurusan yang komited dalam melaksanakan tugas mendidik anak bangsa dan meningkatkan kecemerlangan universiti ini.

"Saya berharap UKM akan terus mempelopori sistem pendidikan tinggi negara berteraskan Dasar Pendidikan Negara dengan mewujudkan suasana ilmu yang terbuka kepada perubahan dan perkembangan sezaman dengan warga ilmuannya yang bertekad tinggi pada dekad-dekad yang seterusnya," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penutup Sambutan Jubli Emas dan Pelancaran Sambutan 51 Tahun Universiti Kebangsaan Malaysia yang diadakan secara maya pada Jumaat.

Malah, beliau turut berharap penghayatan terhadap falsafah, misi, visi dan matlamat penubuhan universiti itu akan terus menjadi azimat untuk mereka mencapai kecemerlangan di masa akan datang.

Dalam pada itu, Naib Canselor UKM, Prof Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman mengakui, UKM menghadapi cabaran besar dalam melahirkan modal insan yang mempunyai kemahiran yang tinggi dan profesional, berakhlak tinggi dan melahirkan komuniti pelajar dan siswazah yang bersatu padu dalam masyarakat berbilang bangsa.

"Bagaimana UKM dikemudi untuk masa-masa akan datang amat penting dalam memberi makna kepada hasrat, cita-cita dan aspirasi penubuhannya.

"Untuk mencipta masa depan, UKM perlu sentiasa kekal relevan dan bersedia menghadapi apa juga cabaran.

"Persaingan dari segi kurikulum, keberkesanan metod pengajaran dan pembelajaran, dampak penyelidikan, dukungan prasarana, sumber manusia, pelajar berinovatif, peranan pemegang taruh adalah antara isu-isu yang perlu diberi perhatian untuk terlibat dalam transformasi UKM bagi membentuk generasi yang mantap," ujarnya.

Untuk mencapai hasrat itu dan memenuhi kepentingan setiap pelajarnya, Mohd Ekhwan berkata, UKM sentiasa berusaha meningkatkan kualiti pengajaran, pembelajaran, penyelidikan dan kemahasiswaan di semua peringkat sesuai dengan keperluan semasa.