SEJAK kebelakangan ini penguatkuasaan Prosedur Operasi Standard (SOP) berkaitan dengan Covid-19 hangat diperdebatkan di media sosial dikalangan wargamaya. Walaupun ramai yang bersetuju ianya perlu dilaksanakan dengan tegas dan tanpa kompromi, namun tidak kurang juga yang mempertikaikan malah mempersoalkan metode penguatkuasaannya. Hal ini kerana, ada yang mendakwa bahawa penguatkuasaan SOP dan undang-undang yang berkaitan dengan Covid-19 kadangkala dilihat sebagai berat sebelah, ataupun tidak berkadaran dengan kesalahan yang dilakukan. Tuduhan-tuduhan sebegini, samada berasas ataupun sebaliknya, tidak seharusnya timbul sekiranya semua pihak; masyarakat ataupun penguatkuasa undang-undang memahami konsep Kedaulatan Undang-Undang, atau Rule of Law secara menyeluruh.
Apa itu Kedaulatan Undang-Undang?
Apa yang menariknya, iaitu berbeza dengan fahaman umum, Kedaulatan Undang-Undang bukanlah sebuah peraturan (Rule) ataupun undang-undang (Law), namun ia adalah sebuah komponen falsafah utama didalam undang-undang, khususnya undang-undang perlembagaan. Kepentingan konsep ini dinegara kita dijunjung begitu tinggi, sehingga ianya diiktiraf sebagai salah satu prinsip didalam Rukunegara. Secara mudahnya, konsep Kedaulatan Undang-Undang menuntut kepatuhan dan keterikatan terhadap undang-undang, tanpa mengira darjat atau latarbelakang; samada rakyat kebanyakan mahupun pemerintah.
Konsep Kedaulatan Undang-Undang bukanlah sesuatu yang baharu malahan mula dibicarakan sejak di zaman kegemilangan tamadun Greek dan Rom lagi. Salah seorang pemikir Greek purba yang terkemuka, Aristotle misalnya, berpendapat bahawa kuasa pemerintah haruslah tertakluk kepada undang-undang, sama seperti rakyat kebanyakan yang lain. Aristotle juga menambah bahawa, sekiranya pemerintah tersebut memiliki keistimewaan atau kuasa yang lebih daripada rakyatnya, maka pemerintah itu haruslah menjadi pelindung kepada undang-undang negara tersebut.
Walaupun konsep ini telah pun dibangunkan sejak di zaman Greek purba lagi, namun yang demikian, ia dipopularkan semula oleh ahli falsafah perlembagaan terbilang British, A.V Dicey. Didalam karya beliau, ‘Introduction to Study of the Law of Constitution’ (1885), A.V Dicey telah menggariskan bahawa Kedaulatan Undang-Undang mempunyai tiga elemen asas, iaitu pertama, kuasa menghukum tidak boleh dilakukan dengan sewenang-wenangnya, kedua, kesamarataan didalam perlaksanaan undang-undang, dan akhir sekali, melindungi hak asasi manusia adalah sebahagian daripada memenuhi konsep Kedaulatan Undang-Undang.
Konsep-konsep asas yang digariskan oleh A.V Dicey seterusnya dibangunkan dan dikembangkan oleh sarjana-sarjana yang terkemudian. Ini termasuklah oleh Joseph Raz, dimana menurut beliau, bagi memenuhi kriteria undang-undang yang berdaulat, undang-undang itu sendiri haruslah tidak mendiskriminasi dan tidak bersifat retrospektif, iaitu tidak memberi kesan kebelakang. Beliau turut menambah bahawa badan kehakiman haruslah bersifat bebas, dan mudah diakses oleh segenap lapisan masyarakat. Beliau juga turut menekankan bahawa undang-undang haruslah bersifat stabil dan tidak mudah untuk diubah-ubah, malah peluang untuk membela diri daripada apa-apa pertuduhan haruslah diberikan secara saksama. Disamping itu, pemakaian prinsip semakan kehakiman juga adalah penting bagi melindungi hak asasi manusia daripada dicabuli.
Sarjana Undang-Undang tempatan, Professor Emeritus Datuk Dr Shad Saleem Faruqi turut menambah bahawa, bagi menepati kriteria Kedaulatan Undang-Undang yang sempurna, sesebuah undang-undang bukan sahaja perlu digubal dan dikuatkuasakan secara sah, malah undang-undang itu sendiri perlulah bersifat adil. Tambah beliau, walaupun budibicara eksekutif dibenarkan, namun ianya haruslah dikawal dan tidak boleh melampaui batasan perundangan tertentu. Keadilan sosio-ekonomi juga harus diberikan perhatian, dan pemerintah juga haruslah berkeupayaan dalam melaksanakan dan menguatkuasakan undang-undang secara efektif.
Walaupun Perlembagaan Persekutuan tidak menyatakan konsep Kedaulatan Undang-Undang secara khusus, namun, elemen-elemen konsep tersebut diterjemahkan secara am melalui beberapa peruntukan dibawah Perlembagaan tersebut. Perkara 4(1) misalannya, adalah asas kepada konsep Kedaulatan Undang-Undang didalam Perlembagaan dimana ia menyatakan bahawa Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang tertinggi negara, dan mana-mana undang-undang yang tidak selari dengan Perlembagaan Persekutuan adalah tidak sah. Ini telah disebut secara jelas didalam kes Ah Thian v. Kerajaan Malaysia dimana mahkamah menegaskan bahawa badan penggubal undang-undang, (walaupun mempunyai kuasa yang besar), samada Parlimen atau Dewan Undangan Negeri, tetap tertakluk kepada had yang ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan. Dalam pada itu, Perkara 7 turut menegaskan bahawa undang-undang haruslah bersifat kedepan atau prospektif, manakala Perkara 8(1) memberi jaminan kesamarataan terhadap semua individu disisi undang-undang. Perkara 43(4) pula mendukung konsep Kedaulatan Undang-Undang dengan menekankan prinsip kebertanggungjawaban kerajaan kepada Parlimen. Manakala, Bahagian IX Perlembagaan Persekutuan, secara langsung dan tidak langsung menjamin bidangkuasa serta kebebasan badan kehakiman.
Kedaulatan Undang-Undang Dan Cabaran Pandemik
Menurut seorang ahli falsafah Rom, Cicero, kebahagiaan sesuatu masyarakat itu bergantung kepada ketaatan setiap individu terhadap undang-undang. ‘Setiap individu’ yang dimaksudkan sudah tentu meliputi segenap pelusuk masyarakat atau kelas sosial, samada dari kalangan pemimpin, penguatkuasa undang-undang, mahupun rakyat kebanyakan. Oleh itu konsep kedaulatan undang-undang yang menyamaratakan layanan buat semua golongan tanpa kompromi adalah tunjang utama dalam memastikan segala peraturan yang berkaitan dipatuhi, sekaligus membantu usaha-usaha kerajaan dalam memerangi pandemik Covid-19. Soal pilih kasih atau ketidaktelusan dalam penguatkuasaan tidak seharusnya timbul sekiranya konsep Kedaulatan Undang-Undang dihayati sepenuhnya. Selain itu, walaupun undang-undang harus dilaksanakan secara tegas, namun ianya perlulah dilakukan secara berhikmah. Begitu juga dengan ruang untuk rayuan terhadap hukuman, dimana ia haruslah disediakan dengan secukupnya, bahkan hukuman yang dikenakan mestilah munasabah dan setimpal dengan kesalahan yang dilakukan. Ketelusan dan kesaksamaan pihak berwajib dalam menguatkuasakan peraturan-perturan berkaitan akan seterusnya membina keyakinan rakyat terhadap usaha-usaha kerajaan dalam menghadapi cabaran pandemik.
Di samping itu, penulis juga ingin menegaskan bahawa kebertanggungjawaban untuk memastikan bahawa undang-undang dilaksanakan secara adil dan saksama bukan sahaja terletak di tangan pemerintah dan penguatkuasa sahaja, malah pada rakyat itu sendiri. Dari segi ini, rakyat boleh memainkan peranan dengan memberikan maklum balas yang membina kepada kerajaan dan juga penguatkuasa undang-undang bagi memastikan penguatkuasaannya berjalan dengan lancar. Sekiranya ada salah laku dalam urusan penguatkuasaan, maka adalah menjadi kewajipan sebagai rakyat yang bertanggungjawab untuk melaporkannya kepada pihak-pihak yang berkaitan untuk tindakan lanjut yang sewajarnya. Pada waktu yang sama, rakyat juga perlu menghindarkan diri daripada memberikan kritikan yang tidak membina dan kritikan-kritikan yang merosakkan (destructivecriticism) khususnya di media sosial, oleh kerana ia mampu melemahkan moral masyarakat, khususnya dikalangan barisan hadapan dalam menghadapi cabaran pandemik ini. Sementara itu, rakyat juga haruslah memainkan peranan untuk sentiasa patuh dan peka terhadap segala peraturan dan arahan yang ditetapkan.
Kesefahaman, Kerjasama Dan Kita Jaga Kita
Keberkesanan perlaksanaan dan pematuhan SOP berkaitan dengan pandemik bukan sahaja adalah tanggungjawab kerajaan, malah memerlukan kerjasama semua pihak yang terbabit. Mana-mana kesilapan dan kelemahan yang berlaku dalam penguatkuasaan undang-undang, sekiranya ada; haruslah dipelajari dan diinsafi, seterusnya diperbaiki bagi memastikan keberkesanan perlaksanaannya di masa yang mendatang. Dalam pada masa yang sama, penulis juga ingin mengusulkan agar undang-undang dan peraturan-peraturan mengenai Covid-19 disemak semula bagi mengelakkan timbulnya persepsi negatif khususnya dikalangan rakyat kebanyakan bahawa undang-undang dan peraturan-peraturan yang berkaitan dengan pandemik Covid-19 adalah bersifat kurang sesuai atau menekan. Penulis berpendapat bahawa semakan semula ini adalah satu keperluan, apatah lagi tatkala rakyat sedang terdesak dan bergelut dengan kesan langsung pandemik Covid-19. Seterusnya, mekanisme pematuhan yang bersifat bukan perundangan juga haruslah digiatkan dan digerakkan seiring dengan penguatkuasaan undang-undang. Misalnya, pendidikan mengenai pencegahan jangkitan Covid-19 yang berterusan serta dialog diantara semua pemegang taruh, samada pemimpin, agensi penguatkuasa, dan rakyat adalah penting bagi memupuk kesefahaman dan kesatuan dalam memerangi pandemik Covid-19.
Oleh itu, penghayatan terhadap Kedaulatan Undang-Undang adalah kunci utama dalam menghadapi cabaran pandemik Covid-19. Kontroversi-kontroversi yang tidak sepatutnya timbul, seperti pendekatan dwistandard dalam perlaksanaan undang-undang mahupun SOP berkaitan dengan Covid-19 samada terbukti mahupun sebaliknya, hanya akan membina perasaan prasangka terhadap pihak berwajib, sekaligus boleh merencatkan usaha bersama dalam membasmi pandemik ini. Sebagai penutup, izinkan penulis untuk memetik kata-kata Lord Hewart didalam kes R v Sussex Justices, ex parte McCarthy, “… keadilan bukan sahaja harus ditegakkan, tetapi secara nyata dan tanpa apa-apa keraguan dilihat ia ditegakkan.( justice should not only be done, but should manifestly and undoubtedly be seen to be done) ”.
*Dr. Hafidz Hakimi Haron adalah Pensyarah, Fakulti Undang-Undang, Universiti Multimedia, Kampus Melaka. Pengkhususan kepakaran beliau adalah di dalam bidang Undang-Undang Perlembagaan, Undang-Undang Hak Asasi Manusia, Undang-Undang Media dan juga Undang-Undang Siber.
** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
Dr Hafidz Hakimi Haron
Wed May 05 2021
Undang-undang yang berkaitan dengan COVID-19 kadangkala dilihat sebagai berat sebelah, ataupun tidak berkadaran dengan kesalahan yang dilakukan. - Gambar hiasan
Protes diteruskan hingga Suk Yeol dipecat
Para penunjuk perasaan kekal mengadakan protes di bandar Seoul agar Presiden Yoon Suk Yeol dipecat daripada jawatannya.
Cubaan serbu pejabat Presiden Yoon Suk Yeol gagal
Menurut media tempatan, pihak polis tidak dapat memasuki bangunan utama kerana gagal mencapai persetujuan dengan pihak perkhidmatan rahsia mengenai kaedah penggeledahan dan penyitaan.
Bekas Menteri Pertahanan Korea cuba bunuh diri
Menurut Ketua Pesuruhajaya Perkhidmatan Korea, Shin Yong Hae pada Rabu, Kim kini sedang menerima rawatan susulan dan berada dalam keadaan stabil.
Seorang menteri Afghanistan terbunuh dalam letupan
Seorang menteri utama dalam pentadbiran sementara Taliban Afghanistan terbunuh pada Rabu dalam letupan di ibu negara Kabul.
PBB akan undi gencatan senjata segera dilaksanakan
Resolusi itu juga menuntut pembebasan semua tebusan dan akses tanpa halangan untuk bantuan kemanusiaan kepada Gaza.
Fenomena La Nina berkembang lebih 50 peratus hingga Feb 2025
Kemungkinan lebih 50 peratus fenomena La Nina dilaporkan akan berkembang dalam tempoh tiga bulan mendatang.
127 terbunuh dalam dua hari di Sudan
Terbaharu pada Selasa, kumpulan hak asasi manusia, Emergency Lawyers memaklumkan sekurang-kurangnya 20 termasuk 14 orang yang menaiki bas terbunuh di Omdurman, Sudan.
Suspek bunuh CEO bakal mohon esktradisi
Menurut peguam Luigi Mangiyone, Thomas Dickey, pihaknya akan melakukan permohonan itu mengikut peraturan undang-undang perlembagaan.
[TERKINI] Harimau Malaya raih tiga mata berharga, tewaskan Timor Leste
Skuad Harimau Malaya mencatatkan kemenangan pertama kumpulan A dalam saingan Piala ASEAN 2024 selepas menewaskan Timor Leste 3-2.
Astro sambung hak eksklusif EPL hingga 2027/28
Selain siaran langsung, Astro turut akan menerbitkan kandungan istimewa seperti wawancara eksklusif dan siri "From KL to PL" yang akan ditayangkan pada Januari 2025.
Ringgit ditutup pada 4.12, paras tertinggi dalam tempoh 39 bulan
Ringgit mengakhiri urus niaga Isnin dengan mengukuh, mencecah paras tertinggi dalam tempoh 39 bulan berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).
Pelancongan global hampiri pemulihan sepenuhnya dengan mencapai 96 peratus tahap sebelum pandemik
Walaupun menghadapi cabaran ekonomi dan geopolitik yang berterusan, sektor pelancongan dijangka pulih sepenuhnya menjelang akhir tahun ini.
Kepakaran menghasilkan vaksin ada pada universiti, bukan KKM - Pakar
KKM perlu kerjasama dengan universiti untuk bangunkan vaksin bagi mengelakkan pembaziran dana serta kebergantungan kepada vaksin import.
Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan cadang kerajaan tingkat penyelidikan antimikrob
Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan Dewan Rakyat mencadangkan kerajaan meningkatkan penyelidikan untuk antimikrob termasuk antibiotik dan antiviral generasi seterusnya bagi menghadapi cabaran AMR.
Festival Menyelam Labuan 2.0 bermula hari ini
Festival Menyelam Labuan 2.0 yang menghimpunkan penyelam dari dalam dan luar negara bermula hari ini dan akan berlangsung hingga Ahad depan.
Negara anggota WHO lanjutkan perbincangan perjanjian pandemik setahun lagi
INB akan meneruskan mandatnya untuk menyampaikan perjanjian itu menjelang Perhimpunan Kesihatan Sedunia pada 2025, atau lebih awal.
97 peratus perniagaan di Malaysia ada wanita dalam pasukan pengurusan kanan - Grant Thornton
Sebanyak 97 peratus perniagaan di Malaysia mempunyai wanita dalam pasukan pengurusan kanannya pada masa ini berbanding 92 peratus pada 2023, sekali gus menunjukkan pertumbuhan yang positif.
Bersedia hadapi pandemik seterusnya - WHO
Persediaan adalah soal bila pandemik akan datang tiba dan bukannya soal jika wujud pandemik seterusnya.
Kejohanan Enrich Sports Game tawar hadiah lumayan RM30,000
Hadiah lumayan hampir RM30,000 bakal menjadi rebutan untuk pemenang Kejohanan Enrich Sports Game yang dijadualkan berlangsung pada 10 Disember ini di Bunga Kemboja Fitness Seri Kembangan, Selangor.
MOSTI perkukuh ekosistem vaksin negara, persediaan hadapi pandemik
Perbincangan diadakan antara lain untuk memastikan latihan berkaitan penghasilan vaksin manusia turut melibatkan pihak berkepentingan lain.