Tiada permohonan rasmi diterima Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWPKL) daripada DAP untuk menggunakan dewan Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Chung Kwo bagi tujuan memorial servis bekas anggota Parlimen Bukit Gelugor mendiang Karpal Singh.

Kenyataan JPWPKL Jumaat bagi mengulas laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris bertarikh 24 April yang menyatakan 'DAP kecewa dewan sekolah dilarang daripada digunakan untuk memorial servis Karpal".

Laporan itu memetik pemangku Pengerusi Kebangsaan DAP Tan Kok Wai sebagai berkata Kementerian Pendidikan telah menolak permohonan parti itu untuk menggunakan dewan sekolah berkenaan kerana menganggapnya acara politik.

Karpal Singh, 74, bersama pembantu peribadinya, Michael Cornelius, 39, maut dalam kemalangan pada 1.10 pagi di Kilometer 306.1 Lebuhraya Utara Selatan laluan utara berhampiran Gua Tempurung di Kampar, 17 April lalu.