KENYATAAN akhbar ini merupakan maklum balas mengenai kerajaan negeri Kedah yang telah menaikkan
had umur berkahwin bagi perempuan daripada 16 tahun kepada 18 tahun seperti yang dilaporkan di
dalam Sinar Harian bertajuk 'Kedah naikkan had umur kahwin kepada 18 tahun'.

Sisters in Islam (SIS) menyambut baik langkah Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah yang
telah meluluskan pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Enakmen Keluarga Islam berkaitan had umur

minima perkahwinan dan undang-undang poligami pada Sidang DUN Kedah pada hari Isnin, 18 Julai
2022. Pindaan tersebut termasuk menaikkan had umur berkahwin bagi perempuan Islam dari 16 tahun
kepada 18 tahun.

Namun begitu, di bawah Rang Undang-Undang (RUU) Enakmen Keluarga Islam ini, perempuan Islam di
bawah usia 18 tahun masih lagi boleh berkahwin iaitu pada usia 16 tahun dengan keizinan Mahkamah
Syariah Kedah. Ini bermaksud, perkahwinan kanak-kanak masih lagi boleh berlaku di negeri Kedah.

SIS mempersoalkan bagaimana pula dengan negeri-negeri lain? Bilakah mereka akan mengikut jejak langkah Kedah untuk menyokong menaikkan had umur minima berkahwin bagi perempuan Islam?

Walaupun undang-undang untuk mengawal perkahwinan kanak-kanak diperlukan, akan tetapi,
langkah-langkah yang lebih menyeluruh perlu diambil untuk membantu dalam pelaksanaan dan
penguatkuasaan undang-undang. Pemantauan berterusan perlu dijalankan terhadap anggota pendaftar
dan pegawai yang bertanggungjawab ke atas pendaftaran dan tatacara perkahwinan supaya sasaran
yang menyeluruh ke arah pemansuhan perkahwinan kanak-kanak boleh dicapai.

Selain itu, laporan data dan statistik perkahwinan kepada Dewan Undangan Negeri serta Parlimen juga
harus dilakukan setiap tahun supaya usaha untuk menghentikan perkahwinan kanak-kanak ini dipantau
secara serius terutama sekali dalam memenuhi 17 Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs). Salah satu
matlamat yang terkandung adalah Matlamat Kelima iaitu mencapai kesaksamaan gender dan
memperkasa perempuan dan kanak-kanak perempuan. Antara tujuan-tujuan Matlamat Kelima adalah
menghentikan segala bentuk diskriminasi terhadap perempuan dan kanak-kanak perempuan di mana
sahaja; menghapuskan segala bentuk keganasan terhadap perempuan dan kanak-kanak di ruang awam
dan peribadi, termasuklah pemerdagangan dan eskploitasi seksual dan lain-lain; menghapuskan semua
amalan berbahaya seperti perkahwinan kanak-kanak, kahwin paksa dan juga sunat perempuan serta
tujuan lain.

Kesedaran awam dan ibu bapa mengenai kesan-kesan negatif perkahwinan kanak-kanak juga mesti
ditekankan agar masa hadapan anak-anak terjamin dengan mewajibkan mereka menghabiskan sesi
persekolahan sehingga usia 17 tahun. Selain itu, antara langkah untuk menangani perkahwinan
kanak-kanak termasuk meningkatkan keberkesanan perlindungan sosial dan bantuan sara hidup kepada
isi rumah golongan B40; meningkatkan akses kepada pendidikan dan kehadiran ke sekolah melalui
pembuatan dan pelaksanaan dasar, perundangan, program dan advokasi; dan menyediakan mekanisme
dan platform membincangkan norma sosial dan stigma untuk pelbagai pihak terhadap isu-isu
perkahwinan kanak-kanak.

Isu ini merupakan isu yang amat kritikal dan telah lama diperdebatkan di Malaysia. Walaupun negeri
Kedah telah meminda Rang Undang-Undang (RUU) Enakmen Keluarga Islam, namun begitu, tiada usaha
yang bersungguh-sungguh untuk menaikkan umur minima perkahwinan kanak-kanak di peringkat
Persekutuan.

SIS juga ingin mengingatkan pihak kerajaan bahawa Malaysia telah menandatangani Konvensyen
Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Perempuan (CEDAW) pada tahun 1995 dan
Konvensyen Mengenai Hak Kanak-kanak (CRC) pada tahun 1994 untuk melindungi dan menjamin hak
kanak-kanak dan perempuan.

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) perlu komited dan mengambil
serius tentang isu kritikal ini dengan melaksanakan Pelan Strategi Kebangsaan bagi Menangani Punca
Perkahwinan Bawah Umur yang telah dilancarkan pada tahun 2020 bagi menangani punca-punca
perkahwinan kanak-kanak di peringkat akar umbi yang merangkumi tujuh objektif, 17 strategi dan 58
program serta tindakan bagi menangani punca-punca iu sehingga 2025 . Lebih merisaukan, sehingga kini,
tiada sebarang kemajuan yang dilihat berkenaan isu ini. Oleh itu, SIS menggesa pihak KPWKM serta
agensi berkaitan untuk mengambil langkah untuk menghalang perkahwinan kanak-kanak agar masa
hadapan kanak-kanak terjamin.



Sisters in Islam (SIS)