PADA Mei 2018 apabila kerajaan baru Pakatan Harapan (PH) mengambi alih kerajaan persekutuan, satu pengumuman dibuat iaitu menutup Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) dan menamatkan pegawai berkhidmat secara kontrak.

Pengumuman ini sesuatu yang tidak diduga oleh pegawai yang berkhidmat di jabatan tersebut

Apapun, ia merupakan satu keputusan dan terus dikuatkuasakan pada penghujung 2018
tanpa rundingan dengan mereka yang terkesan.

Mulai dari Januari 2019, secara rasminya pejabat JASA ditutup dan pegawai yang berkhidmat secara tetap dipindah ke jabatan lain, sementara pegawai kontrak menjadi penganggur.

Isunya sekarang, JASA yang dulunya ditutup sudah diaktifkan kembali pada April 2020 di bawah kerajaan Perikatan Nasional (PN).


Apa persoalan

Soalan yang menyusul, di mana JASA itu menjadi relevan dan bagaimana mengurus pegawai-pegawai yang telah ditamatkan perkhidmatan selama 22 bulan.

Dalam menjawab persoalan ini, kita mempunyai beberapa pedoman sebagai rujukan.

Pertama, JASA ini bukan kelahiran setahun jagung, usianya bermula pada 1960 dan berakhir pada 2018 sebelum aktif semula pada 2020.

Sudah tentu dengan track record yang dimilikinya, JASA tidak pernah dipertikaikan prestasinya oleh rakyat dan sentiasa mendapat perhatian serta dokongan oleh kerajaan yang memerintah.

Kalau dikira sehingga 2018, ia sudah hampir 58 tahun lamanya dan bermula dari sebuah bahagian, berkembang menjadi sebuah jabatan dan akhirnya pada tahun 2000, Jasa menjadi sebuah jabatan di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) ketika itu.

Kedua, kepegawaiannya melalui proses saringan sebagai pegawai lain dan mereka diperincikan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan diluluskan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) sebelum menjawat jawatan tertentu dalam JASA.

Setiap tahun sebagai pegawai kontrak, mereka akan dinilai prestasi. Kepada yang tidak baik, mereka tidak disambung kontrak. Mereka yang melepasi penilaian yang ditetapkan, akan disambung kontraknya. Begitulah sehingga pegawai itu dinaikkan pangkat atau diserap sebagai pegawai tetap.

Dalam pada itu, mereka yang cemerlang akan diiktiraf melalui penganugerahan tahunan perkhidmatan cemerlang manakala mereka yang berpotensi dibenarkan untuk berkursus di peringkat sarjana atau yang lebih tinggi.

Ketiga, pengalaman bekerja. Boleh dikatakan mereka telah melalui pengalaman bekerja di bawah tujuh Perdana Menteri yang mempunyai tujuh pendekatan tersendiri dalam membantu ke arah kemajuan negara.

Misalnya, zaman Tun Abdul Razak Hussein, JASA lebih menekankan ke arah pembangunan, Zaman Tun Adullah Badawi pula, ia menekankan kepada masyarakat madani dan paling lama sekali di bawah Tun Mahathir Mohamad, ia adalah Wawasan 2020 dan terakhir sebelum JASA ditutup di bawah Datuk Seri Najib Razak (1Malaysia).

Semua kepelbagaian ini menjadikan pegawai JASA matang, berkemahiran dalam komunikasi mereka ke akar umbi di peringkat daerah, luar bandar, bandar, wilayah malah di peringkat nusantara.



Mungkin, kerajaan PH terlalu gopoh dalam pengumuman mereka kerana tidak memberi peluang bagi pegawai JASA berkhidmat di bawah kerajaan baru.

Namun, tindakan yang dibuat oleh kerajaan PH itu dilihat tidak mempunyai asas-asas kukuh pentadbiran malah lebih menjurus kepada keputusan politik.

Mereka mungkin sedar atau tidak, tindakan mereka telah mengakibatkan 782 pegawai kontrak yang terdiri daripada pegawai Cina, Melayu, India, Kadazan, Iban dari Semenanjung, Sabah dan Sarawak menjadi penganggur.

Ini memberi impak yang serius kepada pentadbiran awam, masyarakat tempatan di mana pegawai itu bertugas dan sejarah hitam yang tidak mudah dilupakan oleh komuniti yang selama ini bertaut rapat dengan JASA.

Keempat, usaha menyelamatkan JASA memang ada. Sebaik sahaja pengumuman JASA ditutup yang menakutkan itu diketahui, maka beberapa usaha telah dibuat oleh mereka yang terkesan untuk memohon kerajaan menimbang semula keputusan mereka.


Terima keputusan

Pertemuan dengan beberapa tokoh dilakukan namun keadan tidak memihak kepada pegawai-pegawai kontrak ini.


Mereka sedar bahawa apabila jabatan itu ditutup, mereka juga harus pergi


Mereka akhirnya menerima keputusan dengan penuh hemah dan bersopan dan mulai menempuh kehidupan yang payah selepas JASA berkuatkuasa penutupannya.

Namun, mereka terus berusaha dan berdoa supaya akan ada nanti pihak yang dapat menimbang semula nasib mereka.

Pada April 2020, berita bahawa jabatan ini mula diaktifkan sudah mula kedengaran.

Dimaklumkan, 52 jawatan pelbagai gred sudah diluluskan dan lainnya masih dalam kajian. Sebahagian kecil pegawai sudah mula melapor diri.

Sudah tentulah mereka mengharap supaya kerajaan hari ini dapat memberi pertimbangan khas.


Kerana dulunya jabatan ditutup, mereka harus pergi, tetapi kini kenapa mereka harus diketepikan?

Mereka lebih layak kerana:

1. Rekod dan prestasi mereka sudah ada dalam simpanan JPA dan SPA.

2. Pengalaman kerja antara lima sehingga 10 tahun sudah cukup untuk memikul dan menyambung jawatan dalam masa yang singkat.

3. Mereka telah melalui pelbagai ujian dan cabaran serta krisis. Ini adalah aset yang paling istimewa yang jarang sekali diperolehi oleh jabatan sosio-politik yang lain.

Sudah tentu kerajaan PN yang dilihat begitu prihatin tidak akan mengabaikan success factor ini dengan mudah.

Ada juga yang berpendapat, JASA ini harus berubah mengikut fasa kemajuan yang berlaku.

JASA sebenarnya sudah mengadaptasikan dari dulu lagi, dari zaman manual ke zaman teknologi.

Dari zaman menulis ke zaman bersemuka dan dari zaman mengetahui segalanya kepada zaman memimpin pendapat rakyat.

Mereka ini aset negara yang mendepani cabaran dalam hal sosio-politik negara khusus dalam memartabatkan kestabilan dan kedaulatan negara yang tercinta.

Barangkali ramai yang tidak tahu, bukan semua boleh menjadi pegawai JASA yang baik, kerana:

1. Penerimaan oleh kerajaan dan rakyat.

2. Penyesuaian polisi kerajaan dan penerimaan rakyat.

3. Kemahiran berkomunikasi dengan kerajaan dan dengan rakyat.

Ini tiga ciri penting untuk dikenali sebagai pegawai JASA yang berwibawa, dihormati dan berhemah.

Apa yang penting buat waktu ini adalah mempercepatkan pengoperasian jawatan dan pengisian supaya dapat JASA ini berfungsi seperti biasa dengan program-program yang terkini, lebih trending dan mengutamakan agenda-agenda yang diperlukan oleh rakyat dan diaspirasikan oleh kerajaan.

Selain daripada memiliki stamina yang tinggi, 780 pegawai yang terkesan memang sudah bersedia untuk mara ke hadapan bagi memahamkan rakyat tentang dasar, polisi, peraturan dan tindakan dari Kerajaan PN.

Malah bukan itu sahaja, mereka juga boleh menjalin pertautan dengan rakyat tidak kira di mana juga mereka diperlukan.



* Yahaya Abdullah adalah bekas Panel Pemikir Jasa (2010-2014).

** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.