Selangor bincang situasi terkini, langkah tangani influenza Jumaat ini - Amirudin

Amirudin berkata, mesyuarat juga akan menumpukan perbincangan mengenai pembelian vaksin untuk penyakit itu. - Gambar fail
SHAH ALAM: Perkembangan terkini serta langkah yang akan diambil berhubung jangkitan penyakit influenza di Selangor akan dibincangkan secara terperinci dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Selangor pada Jumaat ini, kata Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari.
Beliau berkata selain mendapatkan perkembangan semasa jangkitan influenza daripada Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS), mesyuarat juga akan menumpukan perbincangan mengenai pembelian vaksin untuk penyakit itu.
"Di bawah Program Sihat Selangor, kita ada peruntukan yang (sedia) ada dan boleh digunakan untuk pembelian vaksin termasuk untuk penyakit influenza ini.
"Kita akan bincangkan nanti dalam MMKN, kalau perlu sebahagian sokongan, antaranya sokongan dana yang kita sedia ada atau pun perlu menerbitkan (dana) baharu untuk program berkenaan," katanya.Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program Shah Alam Urban Forum 2025 di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di sini yang berlangsung dua hari bermula hari ini.
Semalam, Ketua Pengarah Pendidikan Dr Mohd Azam Ahmad dalam sidang media khas dilaporkan berkata kira-kira 6,000 pelajar sekolah di seluruh negara direkodkan dijangkiti penyakit influenza setakat ini dan beberapa sekolah terpaksa ditutup atas nasihat pejabat kesihatan daerah masing-masing.
Beliau berkata penutupan sekolah dilakukan mengikut prosedur dan garis panduan yang ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi memastikan keselamatan murid, guru dan seluruh warga sekolah.
Pada Khamis lepas, KKM memaklumkan 97 kluster jangkitan influenza A dan B dilaporkan pada Minggu Epidemiologi (ME) 40/2025, berbanding 14 kluster minggu sebelumnya, dengan majoriti melibatkan institusi pendidikan.
Menurut KKM, semua negeri mencatatkan peningkatan, dengan lima negeri tertinggi ialah Selangor (43 kluster), Kuala Lumpur dan Putrajaya (15), Pulau Pinang (10), Johor (sembilan), dan Kedah (lima), dengan kebanyakan kes menunjukkan simptom ringan.
Terdahulu, program Shah Alam Urban Forum 2025 yang julung-julung kalinya dianjurkan MBSA bertujuan menghimpunkan pelbagai pihak dalam pelbagai bidang bagi membincangkan isu-isu penting yang berkaitan dengan pembangunan, masyarakat, ekonomi, dan teknologi.
Bertemakan "Bandar Kita, Komuniti Kita", usaha ini diharap dapat menjadikan Shah Alam sebagai model rujukan bagi bandar raya lain dalam melaksanakan pembangunan mampan.
Dianggarkan 2,000 peserta menyertai program dengan pengisiannya merangkumi Sesi Dialog Pandangan Tempatan yang membincangkan isu dan cabaran tempatan, pembangunan bandar mampan, peningkatan kualiti hidup komuniti serta pemerkasaan komuniti melalui pendekatan digital dan inovasi
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami