SEBULAN sebelum Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2014 dilancarkan secara rasmi, saya berkesempatan mencuri masa untuk melawat Taman Negara, letaknya di Kuala Tahan, Pahang. Ia percutian pertama kali dalam hayat saya 40 tahun, yang saya sifatkan sebagai kembali kepada alam.

Bahasa pokok-pokok hijau dan daun-daun kering kusam bercoklat; falsafah sungai dan habitat ikan-ikan serta manfaat segar menghirup oksigen percuma, cukup menggambarkan kuatnya ikatan manusia dan alam. Sungguh, apa yang ditawarkan oleh khazanah yang ada di Taman Negara cukup istimewa.

Taman Negara ada satu lagi keistimewaan. Orang Asli, atau orang asal. Dengan bantuan Sabri Abdullah, Pengurus Komunikasi Mutiara Taman Negara Resort, pada petang yang cuacanya cukup baik, ke Kampung Dedari saya singgah. Tempatnya cukup daif pada pandangan kita, Kesemuanya ada 20 buah pondok. Kediaman tempat berlindung tiada bilik, mirip bangsal. Tetapi itulah cara kehidupan mereka, nomad atau hidup berpindah-randah. Saya jadi teringat kepada subjek Sejarah yang dipelajari sewaktu di sekolah menengah dan universiti kemudiannya semasa perkataan nomad digunakan.

Orang Aslli Batek di Taman Negara

Orang Asli di Kampung Dedari adalah dari suku Negrito, kata Sabri. “ Lihat pada ciri-ciri mereka, rambut kerinting halus, kulit hitam manis, berwajah bulat lebar,’’. Beliau kemudiannya menambah, keunikan masyarakat Orang Asli suku kaum Batek adalah mereka masih meneruskan amalan berpindah-randah atau nomad yang diwarisi sejak turun-temurun. Bahkan, masyarakat minoriti yang sinonim dengan alam semula jadi itu hanya boleh ditemui di tiga buah negeri Semenanjung Malaysia iaitu Pahang, Kelantan dan Terengganu sekali gus menjadikan mereka insan istimewa.

Suku bangsa Negrito dipercayai telah berhijrah ke Malaysia sejak beribu-ribu tahun lalu dari Indo-China dengan berjalan kaki melalui gunung-ganang. “Mereka dipercayai masuk ke kawasan pedalaman melalui Thailand. Berbanding suku bangsa Melayu Proto, suku bangsa Negrito dan Senoi agak ketinggalan disebabkan cara hidup dan adat resam mereka. “Dahulu suku bangsa ini mempunyai pegangan hidup dan kepercayaan kepada keadaan sekeliling tetapi kini ramai yang telah menganut agama Islam, Buddha atau sebagainya,’’ tambah Sabri lagi.

Kanak-kanak orang asli Batek di Taman Negara

Kanak-kanak orang Asli Batek pula tidak memikirkan apa-apa. Di fikiran mereka, cukup masa makan, selebihnya bermain. Berbanding kanak-kanak bandar yang terdedah kepada teknologi maklumat, anak-anak suku kaum Batek membesar dengan alam semula jadi seperti bukit-bukau, hutan dan sungai. Mereka juga tidak pergi ke sekolah disebabkan keluarga mereka berpindah-randah dari satu tempat ke tempat lain.

Bahawa kehidupan orang Asli Batek itu dekat dengan alam, kelengkapan kediaman mereka juga diperbuat daripada kayu, buluh atap rumbia dan beberapa hasil hutan. Lupakan perkakas seperti radio, televisyen ataupun peti sejuk, kediaman mereka tiada semua itu. Setiap pondok kecil yang berkonsep terbuka itu juga mempunyai unggun api kerana tidak kelihatan dapur di dalam rumah berkenaan.

Dari celah pondok, kelihatan beberapa wanita muda cuba menyorok daripada lensa kamera sambil sesekali mengintai melihat keadaan sekeliling. Mungkin mereka berasa malu kerana hanya memakai kain batik yang diikat di leher sambil mengendong anak kecil.

Orang Asli Batek di Taman Negara

“Mereka memang pemalu terutamanya wanita muda,” panjang lebar Sabri memberi penjelasan sambil diiakan oleh Romlan Jaafar atau lebih mesra dengan panggilan datuk. Kata datuk, dalam perkampungan tersebut, terdapat kira-kira 20 orang suku kaum Batek dan kebanyakan mereka adalah saudara-mara. Kebiasaannya mereka akan menetap di sesebuah kawasan antara tiga sehingga empat bulan sahaja kerana kepercayaan yang mereka anuti.

“Bagaimanapun, disebabkan faktor ekonomi yang semakin meningkat Orang Asli Kampung Dedari memanjangkan masa menetap mereka sehingga kira-kira tujuh bulan. Sekiranya salah seorang daripada mereka jatuh sakit mereka akan berpindah ke tepi sungai dan kembali semula selepas beberapa bulan. “Jika terdapat kematian mereka akan berpindah terus dan tidak akan kembali ke penempatan atau perkampungan tersebut,” katanya.

Berbeza dengan masyarakat Orang Asli lain, kaum Batek tidak mengamalkan sebarang aktiviti bercucuk tanam bagi mengelakkan mereka kekal di sesuatu kawasan. Mereka sangat mahir menggunakan sumpitan dan berburu. Kanak-kanak suku kaum Batek akan mempelajari survival kehidupan sejak mereka kecil.

Kanak-kanak orang asli Batek

Dahulu, perut kanak-kanak ini akan diikat dengan rotan dan mereka akan berlatih menyumpit. Ia digunakan untuk melihat kekuatan hembusan sumpitan berkenaan. Apabila rotan yang diikat terputus bermakna kanak-kanak ini telah lulus dan boleh mengikut golongan dewasa memburu. Selain berburu, orang Asli Batek mencari tumbuhan hutan seperti keladi liar atau dikenali sebagai dioscorea, ubi-ubi lain dan buah-buahan yang terdapat di taman negara.

Saya tidak sedar waktu berlalu dengan cepat di Kampung Dedari. Kata Sabri, orang Asli Batek tidak gemar orang luar berlama-lama di tempat mereka. Ini kerana cuaca gelap kepada mereka, hari sudah bertukar. Maka, mereka akan berehat dan kemudiannya bangun lagi esoknya untuk mencari rezeki.

Orang asli Batek di Taman Negara

Tetapi, sebelum pulang, semua pengunjung dihidangkan dengan kemahiran istimewa mereka, menyumpit dan menghasilkan api dengan seutas rotan yang ditarik berasaskan tapak yang dibuat daripada kayu meranti. Dalam masa kurang seminit, geseran menghasilkan api menerusi habuk kayu yang dijadikan bahan bakar. Ia kemahiran warisan turun menurun kaum asli Batek, saya diberitahu.

Saya ingin menarik perhatian dengan pengalaman mendampingi orang Asli Batek itu. Kalau di negara luar, keistimewaan itu dijadikan produk pelancongan. Sebagai contoh Taiwan dan Kanada, cukup menyedari bahawa pelancongan Orang Asli itu satu perniagaan yang besar. Mengambil contoh di Kanada, setiap tahun, berjuta-juta wang pelancong dibelanjakan oleh mereka yang berminat mengetahui kehidupan sebenar peribumi dengan bermalam di teepee atau khemah berbentuk kon. Tiada salahnya jika kita juga membuat tawaran yang sama.

Azlinariah bersama orang asli Batek
Penulis bersama Orang Asli Batek ketika lawatannya ke perkampungan suku kaum tersebut.

Saya pulang dari Kampung Dedari bukan sahaja dengan ingatan melekat tentang keistimewaan Orang Asli Batek, tetapi dengan harapan bahawa keunikan Orang Asli di Taman Negara ini boleh dijadikan produk pelancongan yang menarik untuk Malaysia. Usah tumpukan kepada produk berasaskan membeli-belah atau pusat peranginan semata-mata. Sebaliknya, jangan lupakan produk pelancongan berasaskan budaya seperti Orang Asli ini.

Ini warisan Malaysia. Ini baru warisan negara.