KOTA BHARU: Amalan mengaji al-Quran setiap hari walaupun hanya sedikit menjadi rahsia seorang hafizah meraih Anugerah Kecemerlangan Al-Fateh pada Istiadat Konvokesyen Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) di sini semalam.

Lebih membanggakan graduan itu, Izzah Zulkifli, 22, menamatkan pengajian Diploma Syariah di Fakulti Pengajian Islam Kontemporari KIAS dengan pencapaian Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.77 selain menerima anugerah dekan pada setiap semester.

Menurut anak ketiga daripada lapan beradik itu, dia mula menghafal al-Quran sejak usia 12 tahun dan khatam pada usia 18 tahun ketika mendapat pendidikan di Maahad Tahfiz Darul Quran Wal Qiraat di Pasir Mas.

“Kadang-kadang ada juga berasa berat dan letih belajar, tetapi terus ingatkan diri kepada ibu bapa selain cuba sedaya-upaya meluangkan masa untuk membaca al-Quran walaupun sekejap.

“Selain itu, saya aktif berpersatuan dan aktiviti kemasyarakatan di kolej bagi memperoleh kawan-kawan yang beraura positif untuk dijadikan dorongan dalam mengharungi cabaran menghabiskan pembelajaran di KIAS,” katanya ketika ditemui selepas menerima anugerah yang disampaikan oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud.

Selain Izzah, pelajar lain Nur Amni Mohammad Dani (Diploma Kaunseling) turut menerima Anugerah Kecemerlangan Ibn Khaldun dan Wan Syahmi Daniel Wan Saiful (Diploma Tahfiz al-Quran Wal Qiraat) menerima Anugerah Kecemerlangan Tok Pulau Melaka.

Menurut Izzah juga gadis kelahiran Kota Bharu itu, ibunya, Sahidatina Zahari, 49, iaitu ustazah yang mengajar di Maahad Amir Indra Petra di Bachok dan bapanya, Zulkifli Husain, 54, seorang Pengetua Maahad Taqaddum Maarif di Pasir Tumboh di sini ialah insan paling penting dalam mendorong kejayaan yang diraih.

Kata Timbalan Pengerusi Helwi PMKIAS 2022/2023 itu, kedua-dua orang tuanya juga ialah sumber inspirasi terbesar dan dia mahu mengikut jejak langkah mereka dengan cita-cita menjadi seorang guru.

“Saya akan berlepas ke Mesir esok (30 Oktober ini) untuk menyambung pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda Syariah di Universiti Al-Azhar dan seterusnya berhasrat untuk menyambung di peringkat sarjana.

“Saya akan merantau di negara itu selama dua tahun atau lebih sebelum dapat mencapai cita-cita sebagai seorang pendidik,” katanya yang menerima tajaan menyambung pegajian tersebut daripada Yayasan Kelantan Darulnaim. - Sinar Harian