Menteri Pendidikan Maszlee Malik mempersoalkan kegilaan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang dilihat terlalu mengejar ranking berbanding memfokuskan matlamat utama penubuhan institusi pendidikan terbabit.

Beliau berkata universiti sepatutnya menjadi medan melahirkan golongan ilmuan dan cendekiawan.

“IPT tanah air ini ada satu kegilaan. Kegilaan mengejar ranking. Ranking is not the big deal! (Ranking bukan satu perkara yang besar).

“Yang penting adalah ekosistem kesarjanaan itu!” tegasnya dalam sesi Bicara Minda bersama Menteri Pendidikan anjuran Sinar Harian, di sini hari ini.

Beliau turut menegaskan mana-mana institusi pengajian tinggi di negara ini sewajarnya bebas daripada pengaruh politik.

“Politik bukan lagi tema utama unversiti. Setiap ilmuan bukan hamba kepada ahli-ahli politik.

“Saya rasa tidak perlulah kalau saya datang mana-mana universiti dan lepas itu minta pelajar datang untuk tepuk tangan. Tidak perlu,” tambahnya.