KISAH tular terdapat cacing halus pada pelitup muka sehingga menyebabkan seorang pemilik Facebook mengambil tindakan memasak sebelum menggunakan pelitup muka itu mendapat reaksi pelbagai daripada netizen.

Isu tersebut turut mendapat perhatian doktor perubatan, Dr Arisman Wenge Abdul Rahman yang tampil memberikan pandangan menerusi Facebooknya.

Dr Arisman menegaskan jangan sesekali basuh atau masak (rebus) pelitup muka jenis tiga lapisan itu.

“Apabila pelitup muka itu sudah basah, ia akan mengganggu penapisan kuman atau zarah di lapisannya sehingga menyebabkan kesukaran bernafas apabila seseorang memakainya.

“Pada masa sama, ada kajian menunjukkan kecekapan penapisan atau filtration efficiency menjadi rendah iaitu di bawah 95 peratus,” beritahu Dr Arisman.

Memperincikan lebih lanjut, beliau berkata, pelitup muka yang dibeli itu hanyalah untuk sekali guna sahaja (single use).

“Nak pakai untuk sehari boleh, tetapi bukan sampai dua atau tiga hari tau!,” tegasnya.

Pada masa sama, ada sesetengah orang yang kurang berkemampuan sehingga terpaksa membasuh pelitup muka untuk menghilangkan kotoran.

"Namun, ia bukan cara terbaik.

“Tindakan itu bukan sahaja tidak pemberi pelindungan kepada si pemakai, malah akan lebih memudaratkan,” ujarnya lagi.

Oleh itu, saranan Dr Arisman, kaedah lainnya, orang ramai boleh membeli pelitup muka jenis kain agar ia dapat dicuci dan dipakai semula.

Mengulas dakwaan cacing terdapat pada pelitup muka pula, Dr Arisman berkata, sejak 13 tahun dalam dunia perubatan, beliau belum pernah beliau menemui kes sebegitu.

Pendek kata, ia sangat mengarut.

Selain itu, pesannya lagi, tidak perlu menyembur alkohol pada pelitup muka kerana itu sangat bahaya.

Berita asal: 'Mengarut... jangan masak pelitup muka'