KUALA LUMPUR: Pemergian Allahyarham Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim meninggalkan kesan kepada bidang korporat, pendidikan, dan politik tanah air.

Menurut Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Allahyarham merupakan seorang pengurus yang cekap ketika bertugas di Permodalan Nasional Berhad (PNB).

Malah, jelas Anwar, beliau sangat prihatin akan golongan rakyat termiskin di negara ini.

“Saya ucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham, semoga roh beliau dicucuri rahmat.

“Beliau harus dikenang sebagai seorang pengurusan korporat sangat prihatin masalah rakyat dan bumiputera ketika beliau di PNB.

“Ada satu rencana yang sangat mengesankan semasa saya Menteri Kewangan.

"Dia (Allahyarham) datang dengan idea membantu bumiputera termiskin menerusi program Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) dan kita lancarkan di seluruh negara.

“Pengurusan dananya sangat cekap dengan basis, tapi kita tak boleh terlepas mengenal sosok tokoh profesional.

"Beliau prihatin dengan keadaan rakyat dan sangat terkesan dengan nasib bumiputera dalam bidang ekonomi,” kata Anwar ketika ditemui di Masjid Umar Al Khattab di Bukit Damansara pada Isnin.

Ahli Parlimen Rompin, Datuk Seri Hasan Arifin juga turut berkongsi pengalaman sepanjang mengenal Allahyarham Khalid Ibrahim yang juga bekas gurunya ketika di bangku sekolah di Kuantan.

“Saya mengenali dekat dengan Allahyarham. Beliau seorang guru yang pernah mengajar di saya ketika di tingkatan enam di Kuantan.

“Dia terkenal sebagai seorang ahli korporat bertugas di PNB dan Guthrie dan bersama menjadi Ahli Parlimen selepas menjadi Menteri Besar Selangor.

“Sumbangannya kepada dunia pendidikan, politik dan ekonomi negara sangat besar dan kita rasakan kehilangan kepada negara terutama dunia korporat dan perniagaan.

"Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan di syurga,” katanya ketika ditemui.

Sepanjang kariernya sebagai ahli politik, Allahyarham Abdul Khalid pernah mengalas tanggungjawab sebagai Menteri Besar Selangor ke-14 bagi penggal 2008 hingga 2014.

Allahyarham juga merupakan mantan Ahli Dewan Negeri (ADUN) Ijok (2008 hingga 2013),
Pelabuhan Klang (2013 hingga 2018), dan Ahli Parlimen Bandar Tun Razak (2008 hingga 2018).

Bekas Menteri Besar Selangor itu meninggal dunia di Hospital Cardiac Vascular Sentral pada Ahad malam.

Allahyarham dimasukkan ke hospital sejak 23 April lalu akibat jangkitan pada injap jantung.

Allahyarham yang berusia 76 tahun meninggalkan isteri, Puan Sri Salbiah Tunut, empat anak, dan dua cucu.