Mengenang Madeline: Hilangnya 'permata' Sarawak yang luar biasa

Mendiang Datuk Dr Madeline Berma dikenali sebagai seorang ahli akademik dan aktivis yang berani menyentuh isu-isu sensitif demi menuntut perubahan yang nyata. - Gambar fail
KUALA LUMPUR : Negara kehilangan seorang tokoh wanita luar biasa yang banyak menabur bakti dalam perjuangan membela golongan miskin, pendidikan dan hak asasi manusia.
Mendiang Datuk Madeline Berma dikenali sebagai seorang ahli akademik dan aktivis yang berani menyentuh isu-isu sensitif demi menuntut perubahan yang nyata, selain lantang memperjuangkan keadilan sosial serta hak golongan terpinggir.
Ketegasan beliau dalam memperjuangkan kebenaran menjadikan suara akademik dan aktivisme tidak terpisah daripada realiti masyarakat, sekali gus memberi kesan besar kepada landskap pemikiran, dasar dan kesedaran awam negara.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menyifatkan pemergian mendiang sebagai satu kehilangan besar bukan sahaja kepada negara, malah kepada dirinya secara peribadi.
Menurut Fadhlina, mendiang merupakan seorang guru dan mentor yang banyak membimbing beliau sejak sebelum bergelar menteri, khususnya dalam bidang ekonomi dan teori kemiskinan.
"Negara bukan sahaja kehilangan seorang wanita yang sangat luar biasa, tetapi kehilangan seorang tokoh yang sentiasa menginspirasikan kita semua.
"Apa yang beliau perjuangkan berkaitan kemiskinan, pendidikan dan hak asasi sebenarnya adalah sebahagian daripada perjuangan kita bersama," katanya ketika ditemui Astro AWANI di sini, pada Rabu.
Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal itu turut berkongsi keprihatinan mendiang terhadap pendidikan golongan terpinggir, termasuk banduan.
"Bagi beliau, pendidikan adalah untuk semua, termasuk anak-anak dalam penjara. Itu prinsip yang beliau pegang kuat,” katanya.
Fadhlina turut merakamkan penghargaan kepada keluarga mendiang serta menyifatkan pemergian itu sebagai satu kejutan besar, apatah lagi mereka sepatutnya mempunyai temu janji bersama dalam masa terdekat.
Sementara itu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, beliau amat merasai kehilangan mendiang yang disifatkan sebagai seorang pemikir terbuka dan rakan perbincangan yang banyak berkongsi perancangan serta idea.
"Beliau seorang yang sangat terbuka dari segi pemikiran dan kami banyak berkongsi pandangan," katanya.
Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Malaya (UM), Dr Mohammad Tawfik Yaakub pula berkata, beliau amat berdukacita sebaik menerima berita pemergian mendiang, sambil menyifatkan mendiang sebagai tokoh yang berani bercakap berdasarkan fakta dan konsisten menuntut perubahan.
"Bukan sahaja dunia akademik kehilangan seorang tokoh, negara juga kehilangan seorang pemikir yang tersohor serta sukar dicari ganti,” katanya.
Beliau menegaskan, sebagai anak jati Sarawak yang vokal memperjuangkan isu ekonomi dan politik, jasa mendiang wajar dikenang dan dirakam dalam lipatan sejarah negara sebagai inspirasi kepada generasi akan datang.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Peneraju, Ibrahim Sani, turut berkongsi pesanan mendiang yang sentiasa mengingatkan pemimpin agar menilai kesan setiap perubahan dasar terhadap rakyat yang tidak mampu menyuarakan pendapat.
"Beliau selalu mengingatkan kami, setiap perubahan mesti dilihat impaknya kepada rakyat jelata, khususnya mereka yang tidak mempunyai suara," katanya.
Mereka berkata demikian ketika hadir memberikan penghormatan terakhir kepada mendiang di KTC Funeral Parlour, di ibu negara, pada Rabu.
Jasad mendiang dijangka dibawa pulang ke kampung halaman menaiki pesawat Malaysia Airlines pada pagi esok dan dijangka tiba di Kuching pada jam 10.30 pagi.
Jasad mendiang akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Siol Kandis, Sarawak selepas upacara sembahyang di Gereja St Paul.
Sementara itu, adik ipar mendiang, Angela Deborah, menyifatkan mendiang sebagai seorang yang tegas namun penyayang, khususnya terhadap anak-anak buahnya.
"Beliau seorang yang penyayang dan sentiasa membantu sesiapa sahaja yang memerlukan," katanya.
Ahli keluarga turut menyifatkan pemergian mendiang sebagai sesuatu yang mengejutkan kerana mendiang tidak pernah menunjukkan sebarang tanda sakit dan kelihatan seperti biasa sebelum ini.
Mendiang menghembuskan nafas terakhir pada usia 64 tahun di kediamannya di Bandar Baru Bangi, Selangor pada kira-kira pukul 11.30 pagi Selasa.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


