NATIONAL
Mengenang Tun Abdullah Ahmad Badawi: Ini 9 legasi ekonomi Pak Lah, manfaatnya dinikmati sehingga sekarang

Inisiatif ekonomi paling signifikan sepanjang pentadbiran beliau ialah penubuhan koridor-koridor pembangunan ekonomi di seluruh negara. - Gambar fail/Bernama
Di bawah kepimpinan Tun Abdullah Ahmad Badawi, Malaysia menyaksikan anjakan ketara dalam arah tuju ekonomi negara. Antara strategi utama yang diketengahkan beliau ialah penekanan terhadap pembangunan modal insan, penerapan tadbir urus Islam yang sederhana menerusi konsep Islam Hadhari, serta usaha meningkatkan ketelusan dan kecekapan perkhidmatan awam.
Tun Abdullah turut memperkenalkan pendekatan "kembali kepada asas" dalam dasar pertanian, sekaligus membawa semula fokus kepada sektor yang menjadi tunjang kehidupan luar bandar.
Inisiatif ekonomi paling signifikan sepanjang pentadbiran beliau ialah penubuhan koridor-koridor pembangunan ekonomi di seluruh negara. Antara yang dilancarkan termasuk Koridor Ekonomi Wilayah Utara (NCER), Iskandar Malaysia, Koridor Ekonomi Pantai Timur (ECER), Koridor Pembangunan Sabah, dan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) — semuanya bertujuan menarik pelaburan dan mencipta peluang pekerjaan bagi rakyat Malaysia di seluruh tanah air.
1. Fokus kepada pembangunan modal insan dan Islam Hadhari
Tun Abdullah menukar haluan strategi ekonomi negara dengan menumpukan kepada pembangunan modal insan dan memperkenalkan konsep Islam Hadhari — pendekatan Islam yang progresif dan sederhana, berteraskan pembangunan berlandaskan nilai.
2. Penubuhan Koridor Ekonomi Strategik
Beliau melancarkan lima koridor ekonomi utama untuk merangsang pembangunan serantau:
• Iskandar Malaysia
• Koridor Ekonomi Wilayah Utara (NCER)
• Koridor Ekonomi Pantai Timur (ECER)
• Koridor Pembangunan Sabah
• Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE)
Matlamatnya adalah untuk menarik pelaburan dan mewujudkan peluang pekerjaan. Walau bagaimanapun, banyak projek masih dalam proses pelaksanaan ketika itu.
3. Liberalisasi peraturan pelaburan asing
Tun Abdullah mengambil langkah berani membuka ekonomi:
• Had pegangan asing dalam bank pelaburan tempatan dinaikkan dari 30% ke 49%
• Lima lesen baru diberikan kepada bank pelaburan asing seperti Credit Suisse dan JPMorgan
• Pelaburan asing dalam hartanah turut dibenarkan
4. Pemerkasaan Kewangan Islam
Kewangan Islam berkembang pesat di bawah pentadbiran beliau. Institusi kewangan dari Asia Barat seperti Al-Rajhi Bank, Kuwait Finance House, dan Qatar Islamic Bank mula beroperasi di Malaysia.
5. Penghapusan tambatan ringgit
Beliau menamatkan tambatan tetap RM3.80 kepada dolar AS dan memperkenalkan sistem apungan terkawal. Ini meningkatkan fleksibiliti mata wang dan pada awalnya mengukuhkan nilai ringgit.
6. Reformasi cukai korporat
Sebagai respond kepada sektor korporat, beliau mengurangkan cukai korporat daripada 28% (2006) kepada 25 peratus (2009).
7. Galakan kepada pasaran hartanah
Tun Abdullah menghapuskan Cukai Keuntungan Harta Tanah (RPGT) yang berusia lebih 30 tahun pada tahun 2007 bagi merancakkan sektor hartanah.
8. Sokongan kepada PKS dengan insentif cukai
Beliau mengekalkan cukai istimewa 20 peratus untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS), serta memberi kelonggaran seperti pengecualian daripada anggaran cukai dan bayaran ansuran bagi PKS baharu.
9. Kurangkan birokrasi melalui penubuhan Pemudah
Pada 2007, beliau menubuhkan Pemudah — pasukan petugas awam-swasta bagi mempercepatkan urusan perniagaan. Kedudukan Malaysia dalam kedudukan daya saing global kemudiannya meningkat.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami