NATIONAL
Mengenang Tun Abdullah Ahmad Badawi: Legasi negarawan berjiwa rakyat - Nazir Razak

Gambar kenangan Allahyarham Abdullah (tengah) merasmikan bangunan baharu CIMB pada 2006 iaitu satu detik yang dianggap Nazir sangat bernilai kepada beliau secara peribadi. - Foto Instagram Nazir Razak
KUALA LUMPUR: Bekas Pengerusi Kumpulan CIMB, Tan Sri Nazir Abdul Razak berkongsi penghormatan peribadi susulan pemergian Perdana Menteri Malaysia kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi ke rahmahtullah semalam.
Menerusi satu hantaran menyentuh hati di akaun Instagram beliau, Nazir yang juga anak kepada Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein, mengenang hubungan awalnya dengan Allahyarham yang dikenali ramai sebagai 'Pak Lah' sejak zaman kanak-kanak lagi.
Katanya, hubungan itu terjalin kerana Allahyarham pernah berkhidmat dalam pentadbiran ayahandanya.
"Saya sendiri tidak pasti bila kali pertama saya mengenali Pak Lah, mungkin kerana beliau telah berkhidmat dalam kerajaan sejak era Tun Razak dan saya telah mengenali beliau sejak kecil lagi"Namun yang pasti, setiap kali saya teringatkan Pak Lah, saya terbayangkan seorang insan yang baik hati, tulus dan penuh dengan kemesraan.
"Pak Lah sering menyebut dirinya sebagai antara 'budak-budak Razak' - satu gelaran yang beliau sandang dengan penuh kebanggaan," tulis Nazir lagi dalam hantaran berkenaan.
Dalam catatannya itu, Nazir yang juga adik kepada Perdana Menteri keenam Datuk Seri Najib Razak, menyifatkan Pak Lah sebagai seorang nasionalis yang sejati dan pejuang perpaduan kaum.
Kata Nazir, Allahyarham Abdullah tidak pernah mengambil kesempatan terhadap isu perkauman atau agama walaupun dalam keadaan politik yang mencabar.
"Beliau seorang multirasialis sejati yang percaya Malaysia adalah milik semua kaum dan enggan bermain dengan sentimen kaum atau agama," ujar Nazir.
Suatu perkara yang turut dikagumi Nazir mengenai Abdullah ialah, Allahyarham memilih untuk mempromosikan ‘Islam Hadhari’ iaitu satu pendekatan Islam yang menekankan toleransi dan kesederhanaan.
Nazir berkata, tempat persemadian akhir Pak Lah di Makam Pahlawan bersebelahan dengan Allahyarham ayahandanya juga sebagai sangat simbolik dan penuh makna, dua tokoh besar negara, mentor dan murid, kini disemadikan bersama.
Dalam catatan itu, Nazir turut mengimbau peranannya sebagai Ketua Eksekutif CIMB ketika era pentadbiran Pak Lah terutama dalam pelaksanaan inisiatif transformasi GLC (syarikat berkaitan kerajaan).
Menurut beliau, dasar yang diperkenalkan Allahyarham Pak Lah membolehkan syarikat-syarikat GLC berkembang secara agresif dan berdaya saing, khususnya di peringkat serantau.
"Beliau menyediakan kerangka, memilih pemimpin program dan memberi kepercayaan penuh. Di CIMB, kami berani mengambil risiko kerana tahu kami akan dilayan secara adil dalam kejayaan mahupun kegagalan," jelasnya sambil menyifatkan era tersebut sebagai zaman kemuncak pembangunan GLC.
Tokoh perbankan negara itu turut berkongsi kenangan manis ketika Allahyarham Abdullah melancarkan bangunan baharu CIMB pada 2006 iaitu satu detik yang beliau anggap sangat bernilai secara peribadi.
Mengulas keputusan Pak Lah melepaskan jawatan selepas Pilihan Raya Umum 2008, Nazir berkata, tindakan itu menunjukkan ketinggian peribadi dan sifat kepimpinan sejati Allahyarham.
"Saya tidak pernah benar-benar faham mengapa sokongan terhadap beliau merosot begitu banyak pada 2008
"Tetapi hakikat bahawa beliau mengambil tanggungjawab sepenuhnya adalah tanda kebesaran hati seorang pemimpin yang meletakkan negara di atas segalanya," ujar Nazir lagi.
Dalam penutup catatannya, Nazir menyatakan Pak Lah sebagai tokoh berjiwa besar dan seorang pemimpin berprinsip yang akan terus dikenang kerana komitmennya terhadap perpaduan, kesederhanaan dan keadilan.
Allahyarham Abdullah meninggal dunia semalam pada usia 85 tahun, di Institut Jantung Negara, di sini.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami