NATIONAL
Mengenang Tun Abdullah: Pak Lah pemimpin berjiwa rakyat, reformis sejati - Johan Jaaffar

Johan (gambar kecil) menyifatkan Tun Abdullah merupakan seorang yang sederhana tetapi memiliki idea-idea besar untuk membawa kemakmuran kepada rakyat.
KUALA LUMPUR: Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi disifatkan sebagai pemimpin yang tidak hanya berjiwa besar tetapi juga seorang reformis tulen yang amat memahami erti kepimpinan berasaskan nilai dan integriti.
Menurut Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar dalam satu kenyataan pada Isnin, Tun Abdullah merupakan antara perdana menteri yang paling kurang difahami dan mungkin paling kurang diberi pengiktirafan dalam sejarah politik negara.
“Beliau bukan seorang ‘showman’. Beliau sedar akan had dan kemampuan dirinya. Beliau tahu beliau tidak sempurna, namun bekerja dalam keterbatasan itu untuk memimpin negara ketika berdepan cabaran besar,” ujar Johan.
Menurut beliau, Tun Abdullah merupakan seorang yang sederhana tetapi memiliki idea-idea besar untuk membawa kemakmuran kepada rakyat.Meski diuji pelbagai cabaran, Allahyarham tetap meneruskan usaha melaksanakan dasar yang mesra rakyat dan menjana pertumbuhan baharu di kawasan luar bandar, jauh daripada tumpuan kota dan pusat pembangunan sedia ada.
“Beliau melalui saat terbaik dalam Pilihan Raya Umum 2004 dan saat sukar pada 2008. Namun, beliau terus bekerja tanpa jemu untuk menjadikan Malaysia tempat yang lebih baik buat rakyatnya,” katanya.
Johan turut memuji pendekatan jujur Allahyarham yang sentiasa berbicara dari hati, serta komitmennya dalam melaksanakan reformasi institusi secara menyeluruh.
“Beliau memperkenalkan Institut Integriti Malaysia, memperkukuh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), dan melaksanakan pelbagai pembaharuan penting dalam sistem negara,” katanya lagi.
Islam Hadhari yang diperkenalkan oleh Allahyarham, menurut Johan, bukan sekadar slogan politik tetapi lahir daripada kefahaman mendalam tentang Islam progresif dan visinya terhadap Malaysia moden yang berlandaskan asas agama yang kukuh.
“Beliau percaya kepada Malaysia untuk semua tanpa mengira warna kulit atau kepercayaan. Negara seperti kita perlu berpaksikan kepada akhlak, integriti dan moral,” jelas beliau.
Mengulas lanjut, Johan berkata gaya kepimpinan Tun Abdullah tidak bersifat autokratik.
“Anda tidak bekerja untuk beliau, anda bekerja bersama beliau, satu prinsip yang mendefinisikan falsafah kerja dan keyakinannya terhadap semangat kebersamaan sebagai sebuah negara.
“Dalam saat senang apatah lagi waktu getir, beliau bukan sekadar seorang ahli politik, tetapi figura ayah yang membawa pertimbangan, kewarasan dan kebijaksanaan," katanya.
Ujar Johan lagi, Allayarham merupakan seorang negarawan sejati.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami