KUALA LUMPUR: Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, yang berdepan dua pertuduhan menghasut berhubung isu pelantikan Menteri Besar Selangor dan penubuhan Kerajaan Perpaduan dalam satu ceramah politik, memohon untuk memindahkan kesnya dari Mahkamah Sesyen Selayang ke Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Peguam Awang Armadajaya Awang Mahmud, yang mewakili Muhammad Sanusi berkata permohonan itu yang difailkan semalam (15 Jan) telah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara hari ini.

"Pengurusan kes di Mahkamah Tinggi Shah Alam ditetapkan pada 24 Jan ini," katanya ketika dihubungi Bernama.

Dalam pada itu, Awang Armadajaya berkata pihaknya melalui surat, memohon untuk menangguhkan perbicaraan kes itu yang sepatutnya bermula 18 Jan ini di Mahkamah Sesyen Selayang dan mahkamah melalui surat yang dihantar kepada pembelaan bersetuju untuk perbicaraan dilapangkan dan prosiding diganti dengan sebutan kes.

"Pihak kami mohon penangguhan perbicaraan kes pada 18 dan 19 Jan berikutan Menteri Besar itu (Muhammad Sanusi) perlu ke luar negara untuk tugasan rasmi. Mahkamah melalui surat turut membenarkan permohonan pembelaan untuk mengecualikan kehadiran Menteri Besar pada sebutan kes 18 Jan ini," kata peguam itu.

Muhammad Sanusi selaku pemohon memfailkan permohonan untuk memindahkan kes antaranya atas alasan suatu perbicaraan yang berpatutan dan saksama tidak dapat dijalankan di mana-mana mahkamah jenayah rendah daripada Mahkamah Tinggi.

Menerusi notis usul tersebut, Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeneri, Kedah itu berkata sekiranya perbicaraan dijalankan di Mahkamah Tinggi, ia akan memudahkan pihak-pihak merujuk kepada isu undang-undang yang rumit yang akan dikemukakan semasa perbicaraan.

Mengikut kedua-dua pertuduhan, Muhammad Sanusi didakwa telah menyebut perkataan menghasut di Simpang 4, Taman Selayang Mutiara-Kampung Bendahara, Gombak dekat sini pada 11 malam, 11 Julai tahun lepas.

Kedua-dua pertuduhan itu mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

-- BERNAMA